Siapa sangka, daripada cuma pembantu pam di stesen minyak, wanita cekal ini berjaya menukar kerjaya bawahan kepada
pengusaha otak-otak dan satar ikan tersohor di Melaka.
Bukan sekadar popular dengan jenama produk dan perniagaan yang dimiliki, bahkan Normala Ismail, 47 turut berjaya menjadikan dirinya sebagai usahawan terkenal yang mampu memasarkan produk di bawah lebel Cahaya Mala Enterprise ke beberapa negara jiran antaranya Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Paling membanggakan, otak-otak dan satar diusahakan wanita tabah ini mendapat pengiktirafan cemerlang daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mengiktiraf produk dihasilkan itu sebagai terbaik dengan penganugerahan ‘1Malaysia Best Product’.
Berkongsi rahsia kejayaan, ibu empat cahayamata ini mengakui beliau bermula dengan ‘kosong’ sebelum boleh memiliki aset dan kilang perusahaan produk makanan sejuk beku sendiri.
“Terus-terang, memang saya bangga dan gembira dengan apa yang saya miliki hari ini kerana saya tiada pengetahuan langsung dalam bidang keusahawan sebelum ini.
“Saya hanyalah suri rumah yang pernah bekerja buruh biasa 20 tahun lepas, dengan niat mahu membantu ibu-bapa dan suami serta keluarga kami yang susah.
“Menyedari keadaan ketika itu, saya nekad untuk mengubah nasib diri dengan menjadi pengusaha kecil kecilan walau pada masa itu saya langsung tidak tahu
apa makna usahawan,” katanya membuka bicara.
Akui Normala, dia kemudian terlintas untuk menjadikan otak-otak sebagai cabang perniagaan sebaik melihat produk otak-otak mulai berkembang dan terkenal pada ketika itu.
“Resepi membuat otak-otak pun pada ketika itu boleh kata biasa-biasa saja dan saya mula buat di rumah secara kecil-kecilan, kemudian saya beri kepada kawan-kawan dan jiran tetangga sebelum berani menjual hasil air tangan saya.
“Apabila sudah ada yang mula membeli otak-otak daun nipah yang saya buat, saya kembali terfikir alangkah bagus jika saya menimba ilmu dengan jabatan atau agensi yang boleh bantu dan ajar saya untuk menambah-baik produk saya, lantas saya terus merujuk perniagaan saya dengan beberapa jabatan,” kata Normala lagi.
Menjawab pertanyaan, Normala mengakui antara jabatan yang membantu serta memberi bimbingan kepada beliau ialah Jabatan Perikanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Kemajuan Dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Piawaian Dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta beberapa lagi agensi lain.
“Saya belajar banyak perkara dari jabatan-jabatan ini termasuklah kaedah pembungkusan dan kaedah pemasaran produk.
“Saya bersyukur produk saya mulai diterima pasaran seluruh Malaysia selain dipasarkan dan dipromosikan sehingga ke luar negara,” katanya.
Ujar Normala juga, kilang yang beroperasi di Taman Bertam Perdana Pulau Gadong, berupaya mengeluarkan sehingga enam tan otak-otak dan satar setiap sebulan dengan anggaran pengeluaran harian sebanyak 250 kilogram sehari.
“Seramai 17 pekerja Melayu Islam setiap hari akan memproses otak-otak dan satar bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
“Selain otak-otak daun nipah serta satar, saya juga turut mengusahakan popiah otak-otak dan jejari otak-otak, dan sambutannya sangat menggalakkan lebih-lebih lagi selepas produk saya mendapat pengesahan HALAL dan juga MESTI,” akui beliau lagi.
Normala juga memberitahu, kadar pertumbuhan jualan yang mencecah sehingga 35 peratus setahun dengan pasaran bulanan mencecah RM90,000 sebulan adalah didorong oleh sambutan pasaran dalam jumlah yang besar secara konsisten setiap bulan.
“Otak-otak dan satar perusahaan saya diedarkan juga ke beberapa hotel besar, peniaga kedai makanan seluruh Melaka dan lain-lain negeri selain di pasar malam, peniaga ikan bakar, gerai-gerai dan pengusaha katering seluruh Malaysia.
“Ia sesuatu yang menakjubkan kerana produk usahawan Bumiputera Islam berjaya meraih kepercayaan peniaga berskala besar yang lazimnya didominasi oleh kaum bukan Melayu,” jelas beliau lagi.
Mengakhiri perbualan, Normala berkata pasukan pemasaran syarikatnya kini sedang merangka satu promosi khas untuk memperkenalkan produk diusahakan beliau ke pasaran India, Sri Lanka dan lain-lain negara selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Walaupun dunia sedang dilanda Covid-19, tetapi saya yakin masih ada peluang untuk saya memasarkan produk makanan Malaysia ke negara lain,” katanya.