PEMBUKAAN Kampung Paya Dalam yang merangkumi Kampung Bukit Durian adalah berkait rapat dengan kedatangan orang-orang Jawa ke Tanah Melayu secara besar-besaran yang dipercayai berlaku pada pertengahan abad ke-19 sehingga meletusnya Perang Dunia ke-2 (1941-1945). Manakala Kampung Bukit Durian yang sebahagian dari Kampung Paya Dalam sebelum kampung tersebut mendapat nama, telah wujud beberapa buah kampung-kampung kecil yang pada peringkat awalnya lebih dikenali sebagai solok.
Solok-solok yang ada-ada peringkat awal ialah Solok Lapis, Solok Bukit Kecil, Solok Bukit Nibong, Solok Batu Putih dan Solok Surau Batu. Kemudiannya muncul pula Solok Tanjung Mak Midah, Solok Paya Meranti, Solok Paya Redan, Solok Paya Tanjung dan Solok Fajar. Keseluruhan solok-solok inilah yang membentuk keseluruhan Kampung
Paya Dalam yang terletak di Mukim Bukit Lintang, DUN Ayer Molek di Daerah Melaka Tengah.
Antara faktor migrasi masyarakat Jawa ke Tanah Melayu pada masa itu disebabkan oleh dasar kejam pemerintahan penjajah Belanda berbanding dengan penjajah Inggeris yang menguasai Tanah Melayu pada era tersebut. Orang-orang Jawa tertarik dengan suasana hidup yang lebih baik di Tanah Melayu telah datang dengan ramainya dan bermastautin di tanah-tanah di kawasan pantai Barat Tanah Melayu dari Johor sehingga ke Negeri Perak.
Walaupun penempatan masyarakat Jawa di Melaka telah wujud seawal era Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, namun penempatan orang-orang Jawa di Negeri Melaka tidaklah begitu ramai dan hanya terdapat di kawasan sungai Rambai, Paya Dalam, Tambak Paya dan Kampung Tehel. Antara keempat-empat kawasan penempatan Jawa yang terawal, Kampung Paya Dalam dianggap sebagai kawasan penepatan paling ramai di negeri ini jika dibandingkan dari sudut demografi.
Munurut sejarah, penempatan orang Jawa di Kampung Paya Dalam ini bermula di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang dan dikatakan bekas tapak surau yang mereka sendiri dirikan dan bukti ini diperkukuhkan lagi dengan adanya sebilangan kecil penduduk berketurunan Jawa walaupun pada masa kini sebahagian besar penduduknya terdiri dari keturunan Melayu.
Tarikh tepat pembukaan Kampung Paya Dalam memang sukar diperolehi kerana tiada sebarang rekod yang dapat dijadikan rujukan namun hasil maklumat lisan dengan warga emas kampung ini khususnya dari keturunan peneroka awal Kampung Paya Dalam, adalah dipercayai bahawa tahun pembukaan kampung ini berlaku sekitar tahun 1880.
Berita penempatan Jawa di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang ini telah sampai ke pengetahuan sanak saudara serta jiran tetangga mereka di Tanah Jawa lalu mendorong sebahagian daripada mereka untuk turut berhijrah ke sini.
Apabila jumlah mereka bertambah ramai mereka mula meneroka tanah kawasan baru khususnya ditanah terbiar di sekitar Kampung Bukit Lintang ini. Penempatan pertama keturunan Jawa di Paya Dalam bermula di Kampung Bukit Kecil kemudian wujud pula Kampung Parit Lapis yang akhirnya ditinggalkan kerana kedudukan tanah yang rendah dan kerap dilanda banjir menyebabkan penduduknya berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, yang kini dikenali sebagai Kampung Bukit Gadong.
Kedatangan orang-orang dari Tanah Jawa terus bertambah malah ada di antara orang-orang Jawa yang telah menetap di Singapura dan Johor turut datang berhijrah ke kawasan ini.Penghijrahan lebih ramai orang-orang Jawa ke kawasan ini telah menyumbang kepada perluasan Kampung Paya Dalam hasil daripada penerokaan kawasan-kawasan baru terutama sekitar penghujung tahun 1890 oleh tiga keluarga iaitu Allahyarham Tuan Haji Sirat, Allahyarham Haji Tahir dan Allahyarham Haji Salleh.
Pada peringkat awalnya mereka ini mendirikan rumah di kawasan tanah paya yang terletak di antara Parit Lapis (telah tiada akibat dari pembinaan Lebuh AMJ) dengan Parit Bukit Durian. Kesan peninggalan petempatan ini dapat dilihat sehingga tahun 1950 iaitu bekas tapak rumah, pecahan pinggan mangkuk dan juga pokok-pokok yang mereka tanam seperti pokok kelapa, pokok belinjau dan pokok jambu. Oleh kerana kerap dilanda banjir telah memaksa mereka mencari tanah yang lebih tinggi dan lebih selamat untuk didirikan rumah. Dan akhirnya tanah yang menjadi pilihan mereka ialah kawasan bukit yang kini dikenali sebagai Kampung Bukit Durian.
Secara keseluruhannya, kampung-kampung dalam DUN Ayer Molek lebih menonjol dengan ciri ktradisi berikutan banyak aktiviti masyarakat berindentitikan kampung seperti pembuatan parang, keris dan pisau secara manual selain mempopularkan ternakan lembu, kambing, ikan laga dan mengusahakan tanaman pokok kenaf dan gaharu yang dikomersialkan sebagai perusahaan minyak wangi.
Secara tidak langsung DUN Ayer Molek juga terkenal kerana kebanyakkan etnik Jawa masih mengamal dan betutur dalam bahasa Jawa terutama di Kampung Paya Dalam dan Kampung Bukit Durian dengan populasi mencecah 10,000 orang penduduk merangkumi 18 buah kampong di DUN tersebut. Bagi generasi lama, mereka masih kekal menggunakan bahasa Jawa dalam pertuturan harian tetapi generasi muda pula mereka gemar mencampur adukkan Bahasa pertuturan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Jawa.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Rahmad Mariman berkata masyarakat Jawa di Ayer Molek masih mengekalkan identiti mereka dengan ikon nasi ambeng dan silat Jidoran. Bahkan demi mempertahankan warisan dan budaya Jawa, penduduk turut menubuhkan Persatuan Warisan dan Kesenian Jawa (WAJA).
Rahmad juga berkata adalah menjadi impian masyarakat Jawa di Paya Dalam untuk mewujudkan sebuah kompleks kesenian dan warisan Jawa supaya budaya dan tradisi masyarakat tersebut tidak terus dilupakan. Bahkan persatuan ini memiliki kesungguhan untuk mengekalkan identiti masyarakat Jawa dengan membina Pusat Komuniti Jawa yang terletak di Kampung Paya Dalam dan diiusahakan oleh penduduk kampung tersebut.
“Sebagai inisiatif untuk mengekalkan ciri istimewa masyarakat di sini, Persatuan Anak Jawa yang ditubuhkan giat melaksanakan beberapa program membabitkan aspek pemuliharaan warisan dan budaya masyarakat Jawa.
Perkara ini akan diambil pendekatan agar masyarakat akan terus memprakrtikan budaya nenek moyang mereka dari Indonesia yang berhijrah ke Tanah Melayu termasuk bermastautin di Melaka dan membina penempatan di sini.
“Malahan kami juga turut berkunjung ke Jogjakarta dan berjumpa pemimpin komuniti Jawa di sana bertujuan mendapat restu bagi mengukuh dan memperkenalkan keunikan masyarakat Jawa di Melaka selain mengelak persepsi negatif sekiranya dituduh menciplak budaya yang sememangnya lahir dan berakar umbi dari Tanah Jawa Indonesia,” katanya yang juga fasih berbahasa Jawa.