USUL BUKIT KATIL

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Bukit Katil merupakan sebuah daerah yang terletak dalam kawasan Melaka Tengah dan bersempadan d engan  Ayer Keroh  di bahagian Timur .

Berdasarkan catatan, pembukaan awal Bukit Katil dikatakan berdasarkan cerita pengisahan yang disampaikan ‘orang lama’ di situ secara turun-temurun mengenai asal usul nama berkenaan.

Menurut penduduk, berdasarkan cerita disampaikan, penduduk terdahulu dikatakan menemui batil emas iaitu bekas simpanan air berbentuk seperti labu sayung yang terletak di atas batu berbentuk seakan katil di atas puncak bukit di situ. Kedudukan bukit tersebut betul-betul terletak bersebelahan Sekolah Rendah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin.

Penemuan batil emas di bukit terbabit sekali gus membawa kepada terciptanya nama Bukit Katil yang digabungkan antara bukit dan batu yang didakwa berbentuk katil, selain bekas menyimpan air yang ditemui pada masa itu.

Berdasarkan fakta sejarah, kampung asal Bukit Katil adalah Bukit Sama Tahu (selepas itu dikenali sebagai Solok Pantai) yang terletak di pinggir pertemuan Sungai Gapam dan Sungai Ayer Panas (Sungai Tehel).

Pertemuan dua sungai berkenaan yang bercantum dengan Sungai Duyong dikatakan menjadi laluan askar kerajaan Melayu Melaka yang lari daripada serangan tentera Portugis selepas Melaka jatuh ke tangan penjajah.

Ketika melarikan diri, sebahagian daripada tentera kerajaan Melaka ketika itu mudik ke Ulu Duyong manakala sebahagian lain pula meneroka kawasan di pinggir pertemuan Sungai Gapam dan Sungai Ayer Panas seterusnya membuka perkampungan di situ dan menamakannya Bukit Sama Tahu.

Berdasarkan pengetahuan silam seorang penduduk, Allahyarham Dalip Said dari Solok Balik Hutan, asal asul pembukaan Kampung Bukit Sama Tahu mempunyai versi agak unik apabila mereka yang mula meneroka tempat berkenaan dikatakan terjumpa seekor kijang bertanduk emas.

Disebabkan pantang-larang orang dulu kala yang pada masa itu dipegang teguh, maka mereka bertindak merahsiakan perkara berkenaan dan berjanji hanya kita sama kita sahaja yang tahu.

Maka itu, kampung yang dibuka di situ pada masa itu diberikan nama Bukit Sama Tahu sempena rahsia disimpan di kalangan penduduk asal terbabit dan selepas kampung berkenaan wujud barulah penempatan lain di kawasan berdekatan mula diterokai penduduk lain.

Asal usul Kampung Bukit Katil mendapat nama juga berkemungkinan dinamakan selepas menjumpai batil di atas batu seakan bentuk katil sempena penemuan itu.

Manakala jalan asal kampung terbabit adalah jalan kereta lembu yang digunakan penduduk dari Duyong melalui Solok Tambak ke Bukit Bayan hinggalah ke Bukit Sama Tahu dan Balik Hutan.

Selepas penjajahan Inggeris pertama, maka pihak penjajah bertindak membina jalan di lokasi sedia ada untuk kemudahan penduduk mengangkut hasil getah dari Ladang Getah Bukit Katil Home Division ke bandar (pelabuhan) manakala Jalan Bukit Katil diturap pada 1960.

Secara amnya, penduduk Kampung Bukit Katil pada waktu dulu kebanyakan menyara diri dengan menjual kayu api seperti kayu getah dan kayu gelam untuk memasak dan dihantar ke bandar menggunakan kereta lembu termasuk basikal yang ketika itu sebagai nadi pengangkutan utama. Selain itu, mereka turut bercucuk tanam termasuk menanam padi.

Kawasan sekitar Kampung Bukit Katil pada suatu masa dulu dikelilingi pokok getah dan sawah padi kini membangun dengan pesat apabila dibangunkan sekolah-sekolah, taman perumahan, klinik kesihatan, masjid dan premis perniagaan.

Di sebalik pembangunan pesat Bukit Katil juga, terdapat seorang tokoh tempatan, Demang Hussin Maaji yang dikatakan banyak menabur bakti dengan menyumbang peranan penting dalam pembangunan ilmiah sehingga namanya diabadikan pada sebuah sekolah rendah.

Sekolah berkenaan dulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu Bukit Katil sebuah sekolah atap diperbuat daripada kayu dan atap rumbia dan berlantaikan tanah yang dibina pada 1924, tetapi lokasi asalnya terletak di Solok Tambak berhadapan Masjid Jamek Bukit Katil sekarang.

Ketokohan Demang Hussin Maaji terbukti apabila beliau ketika hayatnya juga dikenali sebagai guru mengaji, guru besar sekolah diasaskannya selain pernah dilantik sebagai Ketua Penghulu atau Demang bagi Mukim Bukit Katil, Duyong dan Semabok di zaman penjajahan Inggeris.

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

DAKI 14 PUNCAK DUNIA DUA KALI

Fara Ismail Menurut REUTERS – Sanu Sherpa 47, telah mencipta rekod pendakian dengan mendaki 14 puncak dunia yang berketinggian melebihi 8,000 meter

HUKUMAN MATI EMPAT AKTIVIS

FARAH ISMAIL MYANMAR – Menurut Reuters, pihak berkuasa tentera Myanmar telah menghukum mati empat aktivis demokrasi yang dituduh membantu menjalankan “tindakan keganasan”, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *