SEJARAH AWAL SUNGAI LINGGI

Sungai Tocheng Sulaiman antara sungai utama yang berada dalam Negeri Sembilan. Ia bermula dari kaki Banjaran Titiwangsa bermula dari kawasan Kampung Jerlang, Pantai dan mengalir melalui kawasan lembangan sekitar Daerah Seremban dan berakhir di Kuala Linggi, Melaka.

Menurut sumber lisan dahulu kala, Sungai Linggi dipercayai boleh dimudik sejauh ke Pantai. Kapal-kapal kecil boleh belayar jauh ke pedalaman lembah Sungai Linggi.

Sungai Linggi juga menjadi sempadan bagi Negeri Sembilan dan Melaka yang bermula di pertemuan Sungai Rembau dan Sungai Linggi.

Mengikut sejarah awal sekitar abad ke-16 Masihi, Sungai Linggi menjadi laluan perdagangan utama antara Melaka dan Sungai Ujong.

Pada abad ke-18 Masihi, ia menjadi laluan perdagangan bijih timah. Kawasan-kawasan seperti Seremban, Rasah, Rahang, Mambau, Rantau dan Pengkalan Kempas menjadi kawasan rangkaian perdagangan bijih timah yang penting ketika itu.

Sungai Linggi turut dikenali sebagai kawasan dan sempadan pengaruh politik antara Datuk Syahbandar Sungai Ujong dan Datuk Kelana Sungai Ujong.

Datuk syahbandar Sungai Ujong mengawal dan berpengaruh bermula dari Linggi, Pengkalan Kempas, Rantau,Mambau, Rahang, Bukit Kepayang dan Labu. Manakala Datuk Kelana Sungai Ujong berpengaruh dari Lenggeng, Mantin, Ampangan, Paroi dan Sungai Gadut.

Panjang sungai ini dianggarkan 83.5 kilometer bermula dari kawasan berbukit di Kampung Jerlang, Pantai hingga ke Kuala Linggi, Melaka.

Sungai Linggi juga merupakan sumber air bersih bagi Daerah Seremban. Terdapat beberapa sungai utama menyumbang aliran air ke Sungai Linggi iaitu Sungai Jerlang, Sungai Paroi, Sungai Temiang Diversion, Sungai Temiang, Sungai Kepayang, Sungai Mantau, Sungai Kayu Ara, Sungai Belangkan, Sungai Simen dan Sungai Rembau.

Aliran sungai ini dari kuala hingga ke pertemuan dengan kuala Sungai Temiang Diversion dikenali dengan nama Sungai Linggi.

Manakala aliran bermula dari titik pertemuan dengan Kuala Temiang Devirsion hingga ke pedalaman punca sungai di Kampung Jerlang dikenali dengan nama Batang Penar.

Sungai Linggi juga merupakan sempadan semulajadi antara Negeri Sembilan dan Melaka.

Sungai Linggi juga pernah dikaitkan sebagai laluan digunakan Hang Tuah semasa membawa Puteri Tun Teja dari Pahang untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah

………………………..

MISTERI SUNGAI LINGGI

Pada zaman dahulu dipercayai, penduduk kampung ini dan buaya di Sungai Linggi, Negeri Sembilan dikatakan telah membuat perjanjian.

Kata mereka, perjanjian tersebut berbunyi ‘Kita jangan usik-usik. Kita buat hal masing-masing. Insya-Allah kita akan selamat sehingga ke anak cucu’.

Sehingga kini perjanjian tersebut dianggap benar kerana belum pernah sesiapa pun di sungai itu diserang buaya. Sama seperti di Negeri Serawak, tiada satu pun serangan buaya terhadap manusia terjadi.

Justeru, sesiapa sahaja yang datang diminta menghormati pantang larang Sungai Linggi dengan tidak menepuk-nepuk air atau membasuh kaki di sungai ini.

Bahkan sebagai tanda amaran atau peringatan, terdapat papan tanda berkenaan hal itu telah diletakkan.

Terdapat juga papan notis diletakkan di sini bertujuan mengesahkan kewujudan buaya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sebelum pelancong menaiki jeti.

Mengikut notis dimuatkan, orang awam ‘Dilarang mengganggu buaya dan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No 76 tahun 1976. Anda boleh dikenakan denda RM2,000 sehingga RM10,000 atau penjara dua hingga 10 tahun’.

Bagaimanapun, kisah-kisah dongeng, mitos serta misteri yang wujud ini telah menarik minat pelancong meneroka Sungai Linggi dan sungai lain terdapat di sini seperti Sungai Timun, Sungai Rembau termasuk Sungai Pedas di Negeri Sembilan.

SEPIT BIRU JADI BURUAN

Sungai Linggi juga boleh dikatakan cukup sinonim dengan udang galah atau nama jolokan ‘si sepit biru’ dan pelbagai spesies ikan sungai termasuk senangin, sembilang dan serkot.

Bagi kaki pancing di negeri ini, Sungai ini antara port terbaik untuk mereka menikmati Sepit Biru tidak mengira masa.

Ini kerana setiap kali menjejakkan kaki di sini, mereka tidak pernah pulang dengan perasaan hampa dan kecewa. Sebaliknya, Sepit Biru pasti dalam genggaman mereka.

DAYA TARIKAN LOKAN

Bagi yang pertama kali menyusuri sungai tersebut pasti tertanya-tanya apabila melihat papan tanda “Selamat Datang ke Taman Lokan” yang ditulis tangan. Pasti ramai yang beranggapan kawasan berkenaan adalah sebuah pusat rekreasi dan riadah.

Bagaimanapun, mereka pasti terkejut melihat hampir keseluruhan ruang di taman itu dihiasi dengan kulit lokan seperti Jalur Gemilang, bendera Melaka, logo 1Malaysia serta lorong pejalan menggunakan kulit lokan sebagai urutan kaki.

Tidak cukup dengan itu, terdapat dua kerusi yang diberi nama kerusi urut lokan dibuat khusus untuk merehatkan badan menggunakan kulit lokan sebagai pelapik duduk dan penyandar.

Walaupun Taman Lokan terletak jauh dari bandar raya ini, namun ia cukup terkenal dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Tidak hairanlah pelancong luar negara seperti Indonesia, Singapura, Australia, Pakistan, Bangladesh, England, Korea Selatan dan beberapa negara lagi kerap mengunjungi taman tersebut.

Lokan adalah spesies makanan laut tergolong dalam spesies kupang dan kepah yang menjadi salah satu makanan penduduk di negeri ini terutama yang tinggal di pesisir pantai Selat Melaka.

Kulitnya pula dijadikan salah satu produk pelancongan terbaharu dan menjadi mercu tanda tarikan pelancong ke Kuala Linggi terletak kira-kira 120 km dari Bandaraya Melaka.

Taman Lokan yang diilhamkan oleh bekas pesara tentera, Zainal Md. Ali, 59, berkonsepkan sebuah taman rekreasi dan bakal menjadi ikon baharu Sungai Linggi-Rembau.

Di kawasan seluas 0.96 hektar yang dibuka pada 2007 bermula dengan hanya 20 lokan dibiakkan sebagai permulaan, kini jumlahnya lebih 4,000.

Biarpun Taman Lokan yang dibina hasil titik peluh Zainal tidak secantik taman rekreasi lain yang terdapat di negeri ini, tetapi ideanya mewujudkan taman tersebut tetap menjadi tarikan pelancong.

Berkunjung ke taman ini, orang ramai berpeluang merehatkan badan sambil menikmati keindahan Sungai Linggi-Rembau yang penuh dengan hutan paya bakau, flora dan fauna.

Taman Lokan juga turut menyediakan penginapan inap desa cukup selesa bagi menghilangkan penat selepas seharian menjelajah kawasan tersebut.

KEWUJUDAN KELIP KELIP

Sewaktu kecil kita sudah terbiasa dengan kehadiran kelip-kelip yang menyinari malam hari.

Namun kini kelip-kelip semakin sukar dilihat lebih-lebih di kawasan-kawasan bandar.

Oleh itu, jika kenangan zaman kanak-kanak ini ingin diceritakan dan diterokai kembali, Sungai Linggi menjadi tempat paling sesuai untuk dilawati.

Menariknya, pelancong boleh melihat lebih dekat pemandangan cahaya kelip-kelip di sepanjang sungai ini pada waktu malam.

TARIKAN LAIN

Antara tarikan pelancongan ke Kuala Linggi yang berkonsepkan ECO dan AQUA Tourism ialah hutan kayu bakau mukim Kuala Linggi, pohon nipah sepanjang Sungai Linggi dan ternakan ikan sangkar di Sungai Linggi.

Pelancong juga boleh menikmati ikan bakar di Medan Ikan Bakar Fort Supai Kuala Linggi, Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru dan Medan Ikan bakar PKNK Melaka Barat.

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *