KAMPUNG BUKIT GEREJA SEMUANYA MELAYU

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana Kampung Bukit Gereja terletak di Alor Gajah ini mendapat namanya sedangkan tiada seorang pun penduduk di kampung berkenaan beragama Kristian.

Asal usul nama kampung berkenaan dipercayai bermula sejak peristiwa runtuhnya pusat pentadbiran Melayu di Kota Melaka lebih 500 tahun lampau yang mengubah sistem dan geopolotik masyarakat Melayu di Melaka.

Pengunduran tentera Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah ke Ulu Melaka menjadi titik permulaan kewujudan penempatan semula masyarakat Melayu yang masih setia dengannya.

Mengikut buku tulisan Jonathan Cave bertajuk Naning in Melaka, tentera Sultan Mahmud telah berundur dan membuat kubu pertahanan di Kampung Melaka Pindah, Ulu Melaka.

Serangan armada Portugis memberikan tekanan kepada tentera Melaka untuk terus berundur dan mendapatkan bantuan Naning.

Tentera Portugis dikatakan mengejar Sultan Mahmud di bahagian hulu dan berlakunya beberapa siri peperangan,” katanya.

KERJASAMA MELAKA-NANING

Menurut Pengkaji Sejarah, Universiti Malaya (UM), Luqman NulHakim Harzamar, kekalahan tentera Melaka mempertahankan Kota Melaka menjadikan Portugis bersungguh-sungguh menangkap Sultan Mahmud.

Kata Luqman, namun pihak Sultan Mahmud telah mendapat bantuan ketenteraan dari orang Minangkabau dan orang asli diketuai Datuk Sayyed Serban Kuning (Datuk Naning).

“Melaka dan Naning bekerjsama mendirikan kubu pertahanan di perbatasan sungai menghubungkan Melaka dengan Naning iaitu di hilir Pengkalan Naning (kini dikenali sebagai Pengkalan).

“Pertempuran sengit antara pasukan sekutu Melaka dengan Portugis di kawasan bernama Kuala Supit.

“Serangan hebat orang Melayu menyebabkan Portugis terpaksa bertahan di sebuah bukit berhadapan Kuala Supit,” katanya.

Ujar Luqman kemudiannya, Sultan Mahmud telah menitahkan supaya Datuk Abdul Aziz Abdul Ghafar iaitu Datuk Maharajalela mengetuai tentera Melaka terus bertahan di perbatasan hilir Naning.

“Portugis terus-menerus membuat serangan melumpuhkan kubu orang Melayu di Kuala Supit namun Melaka mendapat bantuan daripada orang Minangkabau di bahagian Ulu Melaka.

“Disebabkan Kuala Supit mempunyai bentuk sungai bercabang, maka sukar pihak Portugis membuat serangan kerana sungai yang menghala ke Lesung Batu dikawal askar Melaka manakala sungai menghala ke Pengkalan Naning dikawal askar Naning.

“Akibat kesukaran menembusi kubu pertahanan Melaka, pihak Portugis membuat pertahanan di sebuah bukit berhampiran kawasan bernama Seberang Gajah,” katanya.

Menurutnya lagi, penduduk kampung ada bercerita, kesukaran pihak Portugis menembusi kubu pertahanan orang Melayu dikatakan kerana kewujudan ilmu ghaib dimiliki pasukan Naning.

“Keampuhan kubu Melaka di Kuala Supit menyebabkan Portugis terpaksa bertahan di kawasan bukit untuk memastikan tiada serangan balas di Kota Melaka.

“Disebabkan mereka menjadikan bukit sebagai pertahanan kekal maka askar-askar Portugis membina sebuah gereja kecil untuk dijadikan tempat beribadah.

“Berdasarkan kisah lisan tradisi setempat, gereja tersebut turut dibina bagi memusnahkan ilmu-ilmu kebatinan orang Melayu,” katanya.

Kisah kehebatan ilmu kebatinan pasukan Naning pernah dilaporkan Gabenor Melaka dalam Report by Governor Balthasar Bort on Malacca, 1678.

“Menerusi laporan itu, tercatat bahawa kawasan pedalaman Melaka mempunyai seorang pemimpin bertaraf raja daripada kumpulan Minangkabau mempunyai ilmu memukau meriam dan meracun angin.

“Portugis kemudian terpaksa membina gereja di kubu mereka agar dapat terus berdoa untuk menghancurkan tentera Melaka dan sekutunya,” katanya.

SISA TAPAK GEREJA

Pada awal 1960-an, kawasan Bukit Gereja masih mempunyai saki-baki peninggalan tapak bangunan gereja terbabit.

Kata Luqman, menurut pemilik tanah tersebut, sisa bangunan gereja masih wujud dalam bentuk runtuhan dengan beberapa tiang dan loceng.

“Stuktur bangunan digambarkan diperbuat daripada batu tetapi tapak gereja ini telah dijadikan kawasan perladangan kelapa sawit dan seluruh struktur gereja ini musnah dalam aktiviti perladangan.

“Tinggalan seperti serpihan runtuhan bangunan diperbuat daripada jenis batu laterit bertaburan di sekitar tapak bangunan ini,” katanya.

LAWATAN TAPAK

Dalam usaha memastikan tapak bersejarah itu terus dipelihara, Majlis Pengurusan Kampung Komuiti Kampung (MPKK) Kampung Melaka Pindah telah mengadakan lawatan ke Bukit Gereja sekitar tahun 2019.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Kelab Peminat Sejarah dan Misteri (KPDSM), Geng Kembara Tanah Biso (KTB) dan Kumpulan Medal Detector (MD).

Lawatan bertujuan mengenal pasti tapak gereja yang pernah didirikan dan merungkai sejarah disebalik pembinaan gereja di kawasan berkenaan.

Berdasarkan lawatan tersebut, analisis kawasan dan sejarah dilakukan dan ia sangat penting untuk memastikan kesahihan sejarah yang wujud di sini.

ANALISIS KAWASAN DAN SEJARAH.

  • Mengikut lawatan dijalankan kedudukan tapak gereja di puncak bukit dan berada di penjuru di antara dua sungai menjadikan kawasan itu sangat strategik dijadikan kawasan pemerhatian.
  • Kawasan tanah rendah di sekitar Bukit Gereja adalah sawah padi sebelum dijadikan ladang kelapa sawit.
  • Pada abad ke-16, bentuk dan keluasan sungai Kuala Supit dan Lubuk Kuali mampu dilalui sebuah kapal kecil dan perahu besar.
  • Kawasan bukit yang bertentangan dengan sungai menjadi faktor utama kepada pembinaan kubu dan gereja Portugis.
  • Terdapat catatan Portugis menyatakan orang Melayu telah kalah di Melaka Pindah dan tentera mereka mara sehingga ke Taboh Naning.
  • Selepas berlaku pertempuran di Padang Cacar, Portugis telah memusnahkan Naning.
  • Namun, catatan Portugis itu boleh disangkal kesahihannya kerana pelbagai faktor.
  • Secara logik, sebuah perkampungan tidak akan wujud dalam sebuah kawasan jika berlaku peperangan kerana penduduk akan berpindah ke kawasan lain.
  • Mengikut kajian pada 2011, Kampung Melaka Pindah disahkan berusia 500 tahun dan wujud daripada perpindahan orang Melaka di kawasan perbatasan Naning.
  • Kawasan perkampungan seperti Kampung Kelemak, Alor Gajah, Paya Datuk, Pengkalan Naning, Kemus, Taboh, dan Padang Cacar (Kampung Cherana Puteh) masih wujud.
Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

DAKI 14 PUNCAK DUNIA DUA KALI

Fara Ismail Menurut REUTERS – Sanu Sherpa 47, telah mencipta rekod pendakian dengan mendaki 14 puncak dunia yang berketinggian melebihi 8,000 meter

HUKUMAN MATI EMPAT AKTIVIS

FARAH ISMAIL MYANMAR – Menurut Reuters, pihak berkuasa tentera Myanmar telah menghukum mati empat aktivis demokrasi yang dituduh membantu menjalankan “tindakan keganasan”, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *