Melaka sememangnya terkenal dan popular menerusi nama kampung yang unik sehingga membuatkan ramai tertanya-tanya bagaimanakah nama itu wujud.
Begitu juga dengan dun ini, nama Merlimau ini datangnya daripada Limau ataupun bukan? Agaknya daripada mana Merlimau mendapat namanya.
Menurut tradisi lisan atau cerita-cerita mulut, terdapat dua cerita yang dipercayai berkait rapat dengan kewujudan Merlimau.
Diperkatakan ada dua kelompok keturunan terbesar di Merlimau iaitu Bugis dan Palembang.
CERITA PERTAMA (SUMBER LISAN ORANG PALEMBANG)
Menerusi sumber lisan orang-orang Palembang, Dikatakan orang Melayu dahulu sangat pandai bermain senjata keris yang sangat istimewa pada diri mereka.
Mereka sentiasa adakan latihan bersilat, berpencak dan seni mempertahankan diri.
Masing-masing mempunyai keris sebagai senjata persendirian yang dibawa ke mana-mana demi mempertahankan diri dan menentang musuh.
Keris ini pula haruslan dijaga dan dipelihara. Cara menjaganya ialah ‘diusap dan dilimau’.
Ini bermakna keris mereka mesti diusap dengan kemenyan dan diurut dengan limau.
Tradisi merlimau keris ini masih terdapat dikalangan masyarakat Melayu khasnya yang menyimpan keris pusaka.
Upacara ini dinamakan “Upacara Merlimau Keris”. Dikatakan, setiap malam jumaat keris mereka mesti dilimau.
Dalam upacara ini mereka berkumpul di rumah Tok Guru untuk merlimau keris.
Bila ditanya, hendak ke mana? Mereka akan menjawab, hendak merlimau.
Bertitik-tolak dari itulah, akhirnya tempat ini dinamakan Merlimau.
CERITA KEDUA (SUMBER ORANG BUGIS)
Sekitar 1511, Pembesar Orang Bugis, Datuk Kaya Makmun telah berhijrah ke Merlimau.
Beliau pada asalnya telah menebas serta menebang hutan untuk membuat kawasan kediaman.
Waktu itu di pedalaman atau di hulu sungai Merlimau adalah hutan yang tidak pernah diterokai orang.
Hutan belantara yang besar dikatakan banyak didiami binatang buas terutama harimau.
Harimau ini pula sentiasa mengancam pendatang baru kerana mereka tinggal di pinggir hutan tebal.
Sehubungan itu, Datuk Kaya telah mengarahkan orang-orangnya membuat pagar menahan serangan atau menahan bahaya harimau.
Dalam bahasa dahulu disebut ‘mara rimau’ kita buat pagar, tahan mara rimau, tahan mara rimau.
Ini kerana mara rimau ini mengancam hidup dan mereka menamakan tempat ini sebagai Mara Rimau, yang akhirnya menjadi Merlimau.
ends…