Taman Ekstrem Tasik Chinchin mungkin tidak sepopular taman-taman rekreasi sedia ada dalam negeri ini.
Sementelah lokasinya terletak di Dun Merlimau ini membataskan segelitir pengunjung untuk mengetahui lebih luas mengenai kewujudan taman ekstrem ini.
Pun begitu, bagi pecinta alam dan sukan lasak, sebut saja nama tempat ini sudah tentu mereka tahu akan kehebatannya.
Berkongsi mengenai Taman Ekstrem Tasik Chinchin, ia mula dibangunkan oleh kerajaan negeri pada 2006.
Ia terletak bersebelahan Kem Lambaian Danau Chinchin iaitu pusat perkhemahan yang sering menjadi lokasi kem motivasi samada organisasi kerajaan, swasta, pusat pengajian tinggi, sekolah-sekolah serta banyak lagi organisasi.
Destinasi taman ini mengambil kira-kira 9 kilometer perjalanan sahaja dari Bandar Jasin dan sekitar 8 kilometer dari Bandar Tangkak.
Tarikan utama bagi Taman Ekstrem ini adalah keindahan tasik yang terdapat di sini, selain paya yang sukar ditemui kini dan ini bakal menjadi pengalaman menarik bagi sesiapa yang berkunjung di situ.
Menarik mengenai taman ini, pelbagai aktiviti boleh dilakukan sama ada secara inidividu atau berkumpulan.
Pembangunan menggunakan konsep pelancongan ini memudahkan orang ramai untuk akses ke sini dan melakukan aktiviti bermanfaat.
TAMAN AIR MINI
Taman air ini berkonsepkan taman air asas dan ia tidaklah sebesar mana-mana taman air dikenali di negeri ini.
Hanya mengenakan kadar bayangan RM10 dan RM5 untuk dewasa serta kanak-kanak, ia sudah memadai untuk pengunjung khususnya masyarakat kampung meluangkan masa bersama keluarga dan sanak-saudara di sini.
Malah terdapat juga kolam renang bagi golongan dewasa di sini.
Demi memastikan keselamatan pengunjung, pihak pengurusan sentiasa mengawal ketat sebarang aktiviti berlaku di kawasan ini.
SUKAN LASAK
Bagi peminat sukan lasak, tidak perlu pergi jauh kerana di sini terdapat pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan.
Antara yang menjadi perhatian adalah fliying fox merentasi tasik berkeluasan kira-kira 100 meter persegi itu.
Selain itu terdapat juga aktiviti kayak sebagai cabaran kepada pengunjung yang ingin mencabar diri.
Sukan memanah juga disediakan di sini. Dengan bantuan tenaga pengajar bertauliah, anda akan diajar teknik memanah yang betul.
Dalam pada taman ekstrem ini juga menyediakan kawasan bagi aktiviti jungle tracking dan jogging dengan bantuan tenaga pengajar.
Ini kerana meskipun laluan di kawasan belukar dan denai disediakan untuk pengunjung melakukan aktiviti tersebut, tetapi, kerana mereka tidak arif dengan kawasan ini, adalah lebih baik mendapat pantau daripada pihak lebih mahir.
Taman ini juga sebenarnya sesuai untuk mengadakan perkhemahan sambil menikmati alam.
Untuk penginapan yang lebih selesa, chalet-chalet juga disediakan oleh pihak pengurusan untuk anda sewa. Ia dilengkapi pendingin hawa serta kelengkapan asas penginapan.
Di Taman Tasik Ekstrem Chinchin ini juga terdapat sebuah dewan besar yang boleh digunakan untuk pelbagai majlis.
Terdapat juga restoran boleh ditempah bagi mengadakan jamuan makan, mesyuarat ringkas dan sebagainya.
Acara hari keluarga juga boleh diadakan di sini kerana ia lengkap dengan segala peralatan.
ends…