TERBAHAGI KEPADA 20 MUKIM

Pekan ini merupakan sebuah daerah terletak dalam Negeri Melaka. Pada awalnya, Jasin ditadbir Majlis Daerah Luar Bandar Jasin (Jasin Rural District Council) yang ditubuhkan pada tahun 1959.

Kemudian, ia diberi pengiktirafan sebagai Majlis Daerah Jasin pada tarikh 1 Julai 1978. Pada tarikh 1 Januari 2007 pula, ia telah diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Daerah ini terbahagi kepada 20 mukim iaitu Ayer Panas, Batang Melaka, Bukit Senggeh, Chabau (Asahan), ChinChin, Chohong, Jasin, Jus, Kesang, Merlimau, Nyalas, Rim, Sebatu, Selandar, Sempang, Semujok, Serkam, Sungai Rambai, Tebong, dan Umbai.

Sejarah awal pembukaan bandar Jasin bermula pada tahun 1918 iaitu di kawasan Kesang Pajak yang mengikut aliran sungai.

Bagaimanapun satu tragedi kebakaran mengubah kedudukannya sebagai sebuah pekan kecil.

Jasin kemudiannya dibangunkan semula oleh seorang pendatang berketurunan Bugis bernama Mat Yasin pada tahun 1928.

Usaha beliau turut mendapat kerjasama pihak Inggeris dan kawasan itu dipanggil Jasin kerana mengikut sebutan loghat orang Inggeris yang bercakap melayu bersempena dengan nama Yasin.

Sejak itu bandar Jasin semakin maju mengikut peredaran zaman dengan berkuatkuasanya Undang-undang Malaysia Akta Kerajaan Tempatan 1976, seperti Penguasa-penguasa Tempatan di negara ini, Majlis Daerah Luar Bandar Jasin (Jasin Rural District Council) ditubuhkan pada tahun 1959.

TEMPAT PERLINDUNGAN HANG TUAH

Salah satu dokumen yang wujud berkait rapat di Jasin adalah mengenai hikayat Hang Tuah.

Menerusinya, ada menceritakan bahawa Hang Tuah telah difitnah orang lalu dikenakan hukuman bunuh.

Bendahara Tun Perak telah ditugaskan untuk menjalankan hukuman tersebut bagaimanapun kerana Bendahara Tun Perak telah mengetahui dari awal bahawa Hang Tuah tidak bersalah, hukuman itu tidak dilaksanakan sebaliknya.

Bendahara Tun Perak kemudiannya menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka iaitu Hulu Duyung yang terletak di sekitar Gapam, Bemban di daerah ini.

Di sinilah beliau tinggal bersama-sama dengan seorang pendita sehingga beliau dibawa balik ke Melaka untuk menentang Hang Jebat.

Oleh kerana hanya sejarah Hulu Melaka sahaja yang terdapat di dalam dokumen lama, maka dapat dibuat kesimpulan bahawa kampung ini merupakan sebuah kampung tertua yang pernah wujud di daerah ini.

LALUAN PEMINANGAN PUTERI GUNUNG LEDANG

Satu peristiwa bersejarah yang terdapat di dalam Sejarah Melayu dan juga hikayat Hang Tuah ialah peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang.

Peristiwa peminangan tersebut diketuai oleh Tun Mamat.

Tun Mamat berjaya sampai ke puncak gunung dan bertemu dengan puteri tersebut.

Mengikut tradisi lisan, rombongan meminang Puteri Gunung Ledang itu merentasi hutan dengan melalui Jasin.

Semasa dalam perjalanan, Tun Mamat dan rombongannya singgah berehat di Jasin iatu di Rim.

Sepanjang perjalanan mereka itu, tidak dinyatakan bahawa mereka bertembung dengan mana-mana perkampungan orang.

Oleh itu dipercayai bahawa daerah ini pada suatu masa dahulu dipenuhi dengan hutan belantara.

Semasa singgah di Rim, Tun Mamat dikatakan telah menggali sebuah telaga dan telaga tersebut digelar Telaga Tun Mamat.

Malangnya, telaga itu telah ditimbus untuk melaksanakan projek Padang Bola Rim.

MAKAM TUN TEJA

Terdapat juga Makam Tun Teja yang terletak di Merlimau dipercayai sebagai makam Tun Teja Ratna Benggala anak kepada Seri Amar Diraja Bendahara, Pahang (Inderapura).

Tun Teja ialah isteri kepada Sultan Mahmud Shah yang memerintah negeri Melaka pada tahun 1458 hingga tahun 1511.

Apabila Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511, baginda telah berundur ke Bentayan (Muar).

Semasa pengunduran inilah Tun Teja yang pada ketika itu dikatakan sedang gering dan akhirnya mangkat.

Jenazahnya dipercayai dimakamkan di sini dengan penuh adat istiadat.

ends…

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *