Kampung Chinchin dipercayai wujud kira kira 300 tahun lalu berdasarkan penemuan batu nisan diperbuat daripada batu merah yang dipahat kemas di sebuah tanah perkuburan lama dikampung ini.
Menurut sejarah lisan dikongsikan daripada satu generasi kepada generasi lain, kampung ini mula dibuka sebuah keluarga melayu yang mempunyai anak ramai yang menjadikan persempadanan tanah antara satu kawasan dengan kawasan dibatasi dengan pokok kekabu atau pokok pinang.
Pekerjaan penduduk dikampung ini adalah petani yang mana sungai dan anak-anak sungai kecil menjadi laluan utama sebagai jalan perhubungan dari satu tempat ke tempat yang lain.
Dalam pada itu, nama Chinchin ini pula dipercayai bermula apabila satu rombongan peminangan dari kampung seberang berangkat untuk meminang anak dara dikampung ini.
Dalam perjalanan menyeberangi sungai tersebut, satu kejadian tidak diingini berlaku dimana Chinchin peminangan dibawa terjatuh ke dalam sungai dan menyebabkan ketua rombongan lelaki berasa susah hati.
Semua ahli rombongan lelaki berusaha mencari dan menyelam sehingga basah kuyup, namun Chinchin tersebut tidak ditemui.
Berita tersebut telah diketahui oleh pihak perempuan dirumah dara, orang ramai yang menunggu ketibaan rombongan pinangan terkejut dan bergegas sama-sama membantu menyelam bagi mendapatkan Chinchin yang hilang.
Usaha dilakukan dianggap seperti sebuah pesta air sedang diadakan.
Namun segala dilakukan tidak membuahkan hasil. Matahari hampir terbenam, maka kedua-dua pihak waris telah mengambil kata putus meneruskan juga majlis pertunangan tanpa Chinchin pertunangan ibarat kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.
Sejak kejadian tersebut sesiapa sahaja yang diamanahkan untuk membawa Chinchin pertunangan ke rumah pihak perempuan, ketua kampung dan waris sentiasa mengingatkan berkali-kali, ‘jaga Chinchin’ jaga Chinchin pinangan, jangan hilang biar barang iringan yang lain tercicir asalkan Chinchin peminangan tidak hilang.
Sudah menjadi tradisi, adat tetap dihormati, bila Chinchin disarungkan ke jari biarlah berkekalan hingga ke mati.
Kisah ini kemudiannya dikhabarkan kepada pembesar negeri dan daripada situlah maka terlahirnya nama Kampung Chinchin sehingga kini.
ends…