Kampung Duyong menyimpan 1001 sejarah tersendiri memandangkan ia diangkat sebagai ‘Perkampungan Hang Tuah’.
Bercerita mengenai keistimewaan terdapat di sini, salah satu yang menjadi perhatian adalah Perigi Hang Tuah.
Bagaimanapun ramai tertanya-tanya bagaimana perigi ini wujud di sini dan mengapa?
Menurut sumber lisan atau cerita orang kampung, ada mengatakan perigi ini terbentuk rentetan hentakan kaki Hang Tuah yang ingin menunaikan solat di kampung itu.
Hentakan beberapa kali menyebabkan mata air jernih dan bersih keluar di kawasan itu.
Kesan hentak tersebut kemudiannya menjadi semakin besar dan membentuk bujur sirih seperti tapak kaki kanan Hang Tuah.
KEGUNAAN HARIAN
Wujud juga sumber yang berkongsi bahawa perigi ini sebenarnya digali oleh Hang Tuah selepas dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Melaka.
Kata mereka, Hang Tuah disembunyikan di atas bukit berhampiran lokasi perigi ini.
Justeru, Hang Tuah telah menggali perigi berkenaan untuk kegunaan hariannya.
Sehingga kini, air dari perigi yang jernih dan bersih dianggap suci dan dipercayai mampu menyembuhkan pelbagai penyakit selain digunakan untuk membayar niat.
Berdasarkan fakta tidak rasmi, perigi ini dikatakan sedalam kira-kira 1.8 meter.
Menariknya, perigi ini dikatakan tidak pernah kering walaupun Melaka pernah dilanda kemarau panjang.
ends…