Bandar Hilir menyimpan pelbagai sejarah tersendiri khususnya berkaitan kemerdekaan negara.
Paling diingati dan dikenang apabila tempat ini menjadi tapak bersejarah sewaktu pengumuman kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diumumkan Tunku Abdul Rahman.
Mengimbas kembali peristiwa bersejarah ini, pada 18 Januari 1956 rombongan merdeka yang diketuai Tunku Abdul Rahman Putra telah berlepas ke London untuk mengadakan rundingan dengan pihak Inggeris.
Rombongan tersebut turut disertai empat wakil perikatan dan empat wakil Raja-Raja Melayu.
Ia telah berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan British supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu setelah berunding selama tiga minggu.
Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu telah ditandangani di antara Tunku Abdul Rahman Putra bagi pihak kerajaan Tanah Melayu dan Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British bagi pihak kerajaan British pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London.
DIARAK PENUH MERIAH
Ketibaan rombongan merdeka dari kota London mendapat sambutan meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam.
Mereka diarak dan diiringi kumpulan pemuda bermotosikal dan puluhan buah kereta ke Padang Banda Hilir, Melaka.
Sebaik sahaja tiba di Padang Banda Hilir, Tunku Abdul Rahman Putra memulakan ucapan terima kasih atas sokongan diberikan.
Seterusnya beliau mengumumkan bahawa menurut Perjanjian Kemerdekaan ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada 31 Ogos 1957.
Serentak dengan pengumuman kemerdekaan ini, laungan “Merdeka” bergema di Padang Banda Hilir yang dibanjiri 100,000 orang dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu.
Ends…