PENEMUAN EMAS DI TELUK

Nama-nama seperti Daing Othman dan Daing Siang diyakini sudah tidak asing bagi penduduk di Kampung Telok Mas.

Malah, menurut sejarah lisan disampaikan turun-temurun, orang bugislah yang terawal meneroka dan membangunkan kampung ini.

Dikatakan nama jalan di kampung ini seperti Jalan Raja Haji, Jalan Daing Tawi, Kampung Tambak Bugis dan Batu Bugis adalah nama-nama peninggalan sejarah orang Bugis di kampung ini.

Bercerita mengenai nama kampung ini diilhamkan, dipercayai ia berkait rapat dengan kisah seorang nelayan yang pergi menjala udang di kawasan teluk.

Di jalanya telah tersangkut beberapa ketulan emas kecil.

Berita penemuan ini telah membawa nelayan terutama dari kawasan Bandar Hilir beramai-ramai mencari emas di kawasan laut berhampiran Telok Mas.

Mereka kemudiannya mengambil sebanyak mungkin dan memunggah emas ke dalam sampan.

Bagaimanapun, sampan yang penuh dengan emas tersebut terbalik dan semua emas diambil jatuh ke dasar laut.

Peristiwa tersebut telah menjadi pengajaran bagi semua penduduk kampung.

Sebagai mengingati peristiwa tersebut juga, penduduk kampung menamakan kampung ini Kampung Telok Mas sehingga sekarang.

ASALNYA TELOK KETAPANG

Asal nama Kampung Telok Mas adalah Telok Ketapang dan ia sangat terkenal dalam sejarah sebagai tempat kemangkatan Raja Haji Fisabilillah.

Sekitar tahun 1784, angkatan kapal-kapal Perang Belanda diketuai Admiral Jacobs Pieter Van Braam menyerang kubu pertahanan Raja Haji di Tanjung Palas, Telok Ketapang yang jauhnya kira-kira 8 kilometer dari bandar Melaka.

Sebelum berlakunya serangan tersebut, orang-orang Riau terutama Bugis dari Telok Ketapang dan orang-orang Selangor yang bersekutu dengan orang-orang Rembau dari Batang Tiga telah berkubu di Telok Ketapang dan telah memulakan serangan ke atas tempat-tempat di sekitar bandar Melaka seperti Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera.

Perselisihan antara Bugis dengan Belanda bermula disebabkan pembahagian harta rampasan yang diperolehi dari kapal Inggeris bernama ‘Betsy’ yang membawa muatan sebanyak 1,154 buah peti berisi candu antara pihak Belanda dan nakhoda Perancis tanpa pengetahuan Bugis.

Ini telah melanggar perjanjian telah dipersetujui antara Bugis dengan Kompeni Belanda yang memberi hak kepada Bugis untuk mendapatkan pembahagian sama daripada harta rampasan tersebut.

Tambahan pula rampasan tersebut dilakukan di perairan Riau.

Sejak itu, Raja Haji memusuhi Belanda dengan melancarkan serangan sekaligus mengganggu perniagaan Belanda di Selat Melaka.

Gabenor Belanda di Melaka turut meminta bantuan dari Gabenor Jeneral Belanda di Betawi supaya menghantar bantuan.

Kedatangan angkatan kapal perang Belanda dari Betawi diketuai Panglima Perang Belanda, Jacobs Pieter Van Braam.

Angkatan itu melibatkan 6 kapal besar dan beberapa kapal kecil.

Seramai 2,130 askar dan 326 meriam berlabuh di Telok Ketapang.

Pertempuran hebat antara kedua pihak berakhir dengan kemangkatan Raja Haji bersama panglima perangnya iaitu Arong Lenga, Daing Salikang dan Raja Ahmad.

Walaupun askar Bugis berperang dengan penuh keberanian bagaimanapun, mereka gagal melawan askar Belanda yang menggunakan senjata moden.

Serangan Belanda ke atas kubu Raja Haji di Tanjung Palas, Telok Ketapang ini memulakan siri-siri pertempuran antara Bugis dan Belanda di sekitar Selat Melaka.

ends…

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *