GENDING SRIWIJAYA

Hujung minggu — berjaya juga menonton filem cereka sejarah ‘Gending Sriwijaya’ terbitan tahun 2013 setelah sekian lama saya mencari.

Filem naratif separa sejarah ini memaparkan latar masa selepas serangan Rajendra Chola 1 (rujuk silang sekitar 1025 masihi) di mana pemerintah ketika itu ialah Sri Sangrama Vijayatunggavarman. Beberapa kawasan taklukan kedatuan (khususnya di kawasan selatan Sumatera kini ; Palembang & Jambi moden) mula mencari jalan untuk membebaskan diri. Ada kerajaan kecil dengan nama Kedatuan Bukit Jerai dibawah pemerintahan Dapunta Hyang Mahawangsa. Terdapat pemberontakan dan pengkhianatan yang berlaku dalam kalangan pemerintah itu sendiri.

Apa yang menarik bagi pandangan saya adalah tentang ketelitian produksi filem ini yang memaparkan sosio-budaya ; bahasa pertuturan, busana, persenjataan, seni mempertahankan diri, corak tulisan, sistem pemerintahan dan tentu sekali asal usul Gending Sriwijaya itu sendiri.

Gending merupakan sebuah tarian kesenian pada dasarnya (zaman kini Gending banyak dimainkan sebagai pembukaaan sesuatu persembahan wayang). Manakala dalam filem ini pula, selain sebagai sebuah tarian Gending Sriwijaya difalsafahkan sebagai satu pasukan yang khusus dianggotai oleh para wanita untuk meneruskan legasi perjuangan dan mempertahankan kesenian itu sendiri. Melalui watak Malini (lakonan Julia Perez), anak kepada ketua pemberontak Ki Goblek (bekas Laksamana Kedatuan Sriwijaya yang dikhianati) sorotan perjuangan secara pertentangan fizikal dapat dilihat apatah lagi selepas kematian ayahnya. Para pengkaji feminisme wajib mengangkat filem ini.

Bahasa pertuturan atau kata bual dalam filem inilah yang menangkap perhatian saya untuk mencari dan menonton. Berdasarkan sejarah, empayar Sriwijaya menggunakan Bahasa Melayu kuno dan kemudiannya menjadi Bahasa Melayu Klasik yang menjadi asas kepada Bahasa Melayu Johor-Riau dan seterusnya Bahasa Melayu moden. Sesuai dengan peranan perkembangan Sriwijaya ketika zaman kegemilangan perdagangan maritim, bahasa melayu kuno/klasik menjadi perantaraan atau sebagai lingua franca.

Dalam filem ini, saya sedari ada dua jenis loghat bahasa yang dituturkan. Pertama, dalam kalangan bangsawan kedengaran seperti loghat Minang dan kedua, oleh golongan marhaen seperti loghat Johor-Riau. Juga terdapat beberapa perkataan dialek daerah yang jarang ditemui dalam filem/nuansan semasa.

Tapi paling pasti, sama ada golongan bangsawan mahupun marhaen sewaktu marah mereka akan berteriak — “Oo ooiii! Gilo babi!” К∆サк∆サк∆サК∆サк∆サк∆サ

Busana yang ditampilkan agak menarik. Dapat dibezakan antara bangsawan dan marhaen. Juga strata jawatan seseorang (pendeta, sami utama, puteri, Sri Ratu, pahlawan). Hiasan kepala lelaki dengan solek destarnya, dan wanita (Sri Ratu) mengingatkan saya kepada SN bonda Siti Zainon. 🙂

Sesuai dengan sejarah dan garis masa, filem ini memaparkan Buddha (rujuk silang ajaran Vajrayana) sebagai agama rasmi ketika itu. Ketika era emas Sriwijaya (melalui prasasti Kedukan Bukit dan catatan pendeta China I-Ching), Sriwijaya dicatatkan sebagai pusat pengembangan aliran Buddha Vajrayana dan bahasa Sanskrit. Malah dikatakan pengembang aliran Vijrayana di Tibet oleh Sarjna Bengal bernama Atisha turut berguru di Sriwijaya ketika itu. Namun, ada adegan yang memaparkan seorang wakil kerajaan China yang menolak jamuan arak dan babi panggang dengan menyatakan bahawa beliau adalah seorang muslim.

Penggunaan pemuras, terakol dan istinggar dalam pertempuran benar-benar mengangkat sejarah bangsa (sekaligus menenggelamkan stigma bahawa orang dahulu hanya menggunakan parang dan lembing sahaja). Penggunaan Meriam Tomong sewaktu adegan membedil gua persembunyian pemberontak/perompak walaupun nampak berlebih-lebihan (yalah, kesan explode peluru tembaga dah macam tnt explosive radiusnya) tapi dari aspek cereka sejarah amat bermakna.

Sistem tulisan, dalam filem ini kerapkali dipaparkan tulisan yang tercatat di daun lontar. Cuma saya kurang arif untuk menentukan sama ada bentuk itu Palava, Kawi atau Rencong. Ada adegan sewaktu Pengeran Purnama Kelana melagukan teks dengan bersyair. Dia membaca teks tersebut di daun lontar.

Akhir sekali, saya tertarik dengan nama watak yang digunakan — Awang Kencana, Purnama Kelana, Dang Wangi dan Malini. Sangat kemelayuan tanpa pengaruh luar.

Selebihnya, tontonlah sendiri. 🙂

Kredit: AttOkz Dilkulgai

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *