Oleh: MARINA SAHABUDIN
Bukan mudah untuk memastikan sesuatu yang diimpi mampu dicapai dengan jayanya.
Lebih-lebih lagi jika bidang keusahawanan yang menjadi pilihan seseorang individu itu.
Bagi Normawati Zakaria,44, penglibatkan lebih 20 tahun dalam bidang pengurusan kecantikan dan kesihatan (SPA) sememangnya memberikan cabaran dan dugaan amat besar kepadanya.
Bermula detik awal menceburi bidang itu sekitar tahun 1996 lagi, dia sudah berhadapan banyak risiko sehingga menjejaskan bisnes SPA yang dijalankan.
Menurutnya, walaupun pernah dibantu kakaknya sendiri, Wan Zahrah,46, namun ia tidak menjanjikan kejayaan berpanjangan.
”Bila kakak buat keputusan nak buka SPA sendiri di Merlimau, saya tinggal seorang. Masa tu, saya uruskan Cristal SPA sendiri tanpa pembantu.
”Memang agak sukar namun memikirkan untuk mencari pendapatan demi menyara keluarga, saya teruskan juga,” katanya kepada MelakaFirst.
Tidak putus semangat, Normawati yang mesra disapa Wati ini kemudiannya nekad mengambil dua pekerja bagi membantunya di SPA.
”Tapi apa yang saya buat tidak bertahan lama, perniagaan saya merosot kerana tak dapat uruskan pekerja di SPA dengan baik, malah saya diperguna dan ditipu pula oleh mereka.
”Ketika itu juga saya sebenarnya agak sibuk dengan urusan peribadi kerana perlu menjaga emak dan ayah yang sakit,” katanya.
Berkongsi lanjut, ujar Wati, walaupun bisnes SPA diusahakan merundum beberapa tahun, namun dia nekad untuk bangun semula.
”Kalau ikutkan pada tahun 2014 bisnes saya memang jatuh, saya tiada pekerja dan berbagai lagi dugaan terjadi.
”Namun saya cepat sedar dan berusaha mencari pelbagai projek seperti mengajar kursus pendek dengan kerjasama vokasianal dan giat mara.
”Malah jika tiada pelanggan membuat rawatan wajah atau SPA, saya akan buat rawatan urut bersalin dan menyolek wajah pengantin,” katanya.
Wati juga giat menambah ilmu berkaitan SPA dengan mengikuti Diploma SPA terapi di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kebangsaan, kursus induksi Pegawai Penilai Luaran ( Jabatan Pembangunan Kebangsaan), Pegawai Penilai Dalaman dan Pegawai Penilai.
YAKIN REZEKI ALLAH SWT
Selepas apa ditempuhi Wati bersilih ganti menguji dirinya, kini dia boleh berbangga kerana Cristal SPA yang diusahakan semakin sukses.
”Jika teringatkan apa terjadi, memang saya tak sangka akhirnya urusan SPA ini menemui kejayaan dan dipermudahkan ALLAH SWT.
”Saya masih ingat suatu ketika dahulu sewaktu emak masih ada, dia sentiasa mendoakan saya agar berjaya suatu hari nanti. Malahan, emak sentiasa kata, saya akan senang nanti sebab sanggup berbakti dan menjaganya sepanjang hayatnya ada.
”Emak doakan saya pakai kereta besar dan siapa sangka selepas emak serta ayah pulang ke rahmahtullah, segala doakan menjadi kenyataan.
”Daripada situlah, saya nampak inilah hikmah saya menjaga kedua orang tua. Tuhan makbulkan doa mereka satu persatu dan kini saya semakin selesa dengan kehidupan dan bisnes SPA,” katanya.
Kongsi Wati walaupun dia agak murung selepas emak dan ayahnya tiada, tetapi dia menganggap semua itu sebagai ujian dalam kehidupan.
”Kini sembilan bulan mereka meninggalkan saya. Pada awalnya emak yang pergi dulu, kemudian ayah. Memang saya terkesan masa tu, tapi saya kena kuat,” katanya gembira hasil SPA berjaya membawanya menunaikan umrah dan sambung berlajar.
Dalam pada itu, Wati mengakui meskipun berhadapan pendemik Covid19, tetapi perniagaannya masih berjalan lancar.
”Alhamdullilah, syukur tak terhingga kerana masih diberikan rezeki tidak putus-putus sehingga hari ini. Apa yang penting sekarang saya mampu membayar sewa serta cukup makan minum.
”Kaya itu tidaklah, tetapi sudah cukup mewah untuk diri sendiri,” katanya.
SPA diusahakan Wati iaitu Crystal SPA & Beauty terletak di Arked Mara Kompleks Hang Tuah.
Antara rawatan dijalankan termasuk:
• Pakej pengantin RM550
• Pakej bb glow/ sulam bedak korea RM180
• Pakej dermapen /facial vampire RM 250
• Pakej resdung treatment vit c RM180
• Pakej facial detox RM160
• Pakej full body masagge RM120
• Pakej bersalin 3hari RM 510 (siap ubat dan param pilis dan bengkung)
• Rawatan bajet