Oleh : MARINA SAHABUDIN
AYER KEROH – Ames Hotel Melaka di bawah LSL Hotel Group, Sheng Tai International Sdn. Bhd, tidak ketinggalan meraikan golongan kurang bernasib baik sempena sambutan Krismas tahun ini.
Usaha berkenaan sebagai tanda kasih dan sayang selain menceriakan lagi sambutan Krismas golongan tersebut.
Dua rumah anak yatim iaitu Sunbeam Home, Alor Gajah dan Cheerful Hope Beam, Bukit Baru telah dipilih menerusi program ini.
Menariknya, mereka berpeluang melihat majlis menyalakan lampu di pokok krimas setinggi 15 kaki
Mereka turut dihiburkan dengan iringan melodi dan irama lagu-lagu perayaan Krismas dipersembahkan oleh Kadazan Dusun Cultural Association Melaka (KDCA).
Lebih menggembirakan, anak-anak yatim ini turut dihidangkan makan malam dihotel 5 bintang ini.
Selain itu terdapat juga penyampaian cenderahati dan sumbangan kepada anak yatim terlibat oleh santa dan santarina.
Pada masa sama, wakil Sheng Tai International, Roger Tai Bang Jyh, Ketua Pegawai Eksekutif Allorrie Hospitality, Jean Marc Singh, Pengurus Besar Ames Hotel, Pritpal Singh dan Penolong Pengurus Eksekutif Ames Hotel, Nurashiken Zainal turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian Ames Hotel 2920 CSR Wishing Tree Program.
Menurut Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International,Datuk Leong Sir Ley, pihaknya terpanggil untuk mengadakan program itu di Melaka kerana mereka berasal dari negeri ini.
“Oleh itu saya rasa kami harus berkongsi kegembiraan bersama mereka yang memerlukan di negeri ini.
“Kami yakin usaha seperti ini perlu dilaksanakan supaya tidak wujud perbezaan dalam meraikan Krismas antara mereka yang senang dan susah.
“Pendekataan ini juga sangat istimewa bagi kami kerana dapat melihat kegembiraan anak-anak ini apabila dapat merayakannya penuh meriah bersama kami,” katanya.