MELAKA – Operasi Keselamatan Makanan Di Pasaraya Ops Natal 2020 dilaksanakan dalam memastikan pasaraya di negeri ini menjual produk makanan yang benar-benar selamat dimakan sahaja kepada pengguna.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, sambutan Hari Natal bakal tiba menyebabkan penganut agama itu berpusu-pusu mendapatkan bekalan makanan di pasaraya.
“Kita tidak mahu pihak pasaraya terlepas pandang dan mengambil mudah perkara ini.
“Jika ada makanan atau produk seumpamanya tidak selamat dimakan seperti tamat tempoh, tidak segar, pembungkusan tidak elok, pelabelan produk tidak tepat dan sebagainya, ia boleh memudaratkan pengguna,” katanya.
Operasi berkenaan dijalankan di seluruh pasaraya terkemuda di negeri ini dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Melaka.
Turut serta Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ismail Ali dan Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Noor Aizam serta wakil Pegawai Bahagian Kesihatan Makanan dan Bahagian Penguatkuasaan Inspektorat Jabatan Keselamatan Negeri.