Oleh :MARINA SAHABUDIN
ALOR GAJAH – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Muhammmad Jailani Khamis menyifatkan persepsi segelintir pihak yang mengatakan beliau tidak konsisten dalam pemilihan parti adalah tidak matang.
Menurut beliau, keputusan untuk kembali kepada UMNO adalah wajar selepas dia dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
”Saya bukan keluar parti, tetapi saya dipecat. Apabila saya dipecat saya perlu mencari parti baru untuk teruskan perjuangan saya.
”Yang kata saya tak konsisten tu tak waras. Saya tidak lompat parti,” katanya kepada media baru-baru ini.
Tegas ADUN Rembia itu, perbincangan di antara parti terlibat telah dilakukan sebelum beliau memilih UMNO.
”Sembilan bulan saya menjadi ADUN Bebas dan semua parti ini mempunyai kehebatan tersendiri.
”Bagaimanapun kali ini saya memilih UMNO kerana kepimpinannya dilihat semakin kukuh,” katanya.
Tambahnya, penglibatan beliau diharap dapat menguatkan lagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di bawah kempimpinan UMNO.
”Saya tetap hormatkan PN khususnya kepada pimpinan Perdana Negeri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin
dan juga di peringkat negeri Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
”Melihat perjuangan mereka meyakinkan saya objektif dan matlamat PN boleh dilakukan dengan baik menerusi pimpinan UMNO,” katanya.
Terdahulu, Jailani memaklumkan dia pernah ditawarkan pelbagai jawatan oleh Pakatan Harapan (PH).
”Bukan jawatan saya kejar, sebaliknya saya kejar untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut memberitahu penyertaannya dalam UMNO mendapat respon pofitif daripada Muhyiddin semasa lawatannya ke Melaka baru-baru ini.