MARINA SAHABUDIN
SELANDAR – Sekalung tahniah buat Datuk Muhammad Jailani Khamis yang dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah hari ini.
ADUN Rembia itu menggantikan Senator Datuk Ismail Ibrahim yang memangku jawatan itu sebelum ini.
Perlantikan tersebut selepas mengambil kira kedudukannya sebagai anggota kerajaan negeri yang mana beliau adalah Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka.
Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, ia juga mengambil faktor pengalaman Jailani semasa berada dalam UMNO.
“Saya percaya beliau masih berjiwa UMNO walaupun pernah meninggalkan parti ini.
“Penyertaan Jailani juga diharap dapat menguatkan lagi kedudukan UMNO Bahagian Alor Gajah terutama menjelang Pilihanraya Umum (PRU) 15 nanti,” katanya.
Abdul Ghaafar turut mengalu-alukan sesiapa sahaja pernah keluar dari parti itu untuk kembali.
“Penglibatan Jailani kembali diharap mengurangkan krisis ketidakstabilan politik. Masyarakat tidak terus dihimpit dengan pelbagai persepsi terhadap wakil rakyat tidak mempunyai parti selepas pembubaran Pakatan Harapan (PH) di Melaka tahun lalu.
“Kerajaan Negeri Melaka serta UMNO Bahagian Alor Gajah harus memainkan peranan supaya aspirasi rakyat direalisasikan dengan melaksanakan tanggungjawab tanpa prejudis,” katanya
semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah, di sini.
Jelas beliau, Jailani juga harus segera menggalas tanggungjawa dalam menangani sokongan rakyat terhadap parti tersebut dan PN menerusi pelbagai agenda khususnya berkaitan kelembapan ekonomi rentetan Covid 19.