Oleh : MARINA SAHABUDIN
MELAKA – Kerajaan juga tidak ketinggalan membantu dengan menyusun pelbagai inisiatif demi kelangsungan hidup peniaga terjejas.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, menerusi portfolio beliau, beberapa pendekatan dan strategi turut dilaksanakan.
Menurutnya, ia bukan hanya dalam bentuk sokongan tetapi meliputi pembiayaan dan akses kepada pasaran.
“Kita juga menyasarkan usahawan sektor informal dengan menawarkan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) di bawah seliaan Tekun Nasional.
“Menerusinya, mereka berpeluang membuat pinjaman berjumlah Rm1,000 hingga Rm5,000 dalam tempoh tiga tahun. Yang mana bayaran semula dikenakan cukup rendah,” katanya kepada Melakafirst.
Jelas beliau, usaha tersebut membantu usahawan informal ini beralih kepada usahawan kecil dan begitu juga dengan usahawan kecil dapat beralih kepada usahawan sederhana dan seterusnya.
“Disamping memberikan latihan dan bimbingan bagaimana untuk mereka terimaa situasi pada hari ini, untuk melihat mereka bertahan sehingga kini pun satu rahmat besar.
“Mereka masih berniaga walaupun dalam skala kecil. Kalau dulu boleh dapat dalam empat atau lima ratus ringgit sehari, tetapi hari ini mereka hanya dapat dalam seratus lima puluh ringgit sahaja,” katanya.
Tambah Mas Ermieyati, sama ada mereka mempunyai formula jangka pendek atau panjang, ia berkait rapat dengan komitmen, kesungguhan dan ketahanan diri seseorang usahawan itu.
“Walaupun dia mempunyai akses kepada pasaran, tetapi kalau tiada daya ketahanan yang kental juga, dia mungkin tidak boleh bangkit dan terus bertahan dalam situasi kini,” katanya.
-MF-