Oleh : MARINA SAHABUDIN
MASJID TANAH – Sayembara Deklamasi Puisi Melakar Masjid Tanah Ke Mercu Jaya mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat seni puisi.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, seramai 18 peserta dan 12 penulis puisi telah mengambil bahagian menerusi sayembara puisi yang mengangkat tema Kegemilangan Masjid Tanah itu.
Menurutnya, program itu kali pertama dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Masjid Tanah.
“Matlamat yang hendak saya sebarkan melalui program berkenaan adalah memperkenalkan parlimen ini menggunakan medium puisi.
“Inisiatif ini sekaligus mencungkil bakat baharu dalam bidang sayembara dan deklamasi selain meningkatkan pengetahuan peserta mengenai Masjid Tanah,” katanya kepada Melakafirst.
Jelas Mas Ermieyati, setiap karya dihasilkan akan dibukukan selepas ini.
“Saya juga mengalu-alukan sesiapa sahaja berminat menyumbang hasil nukilan mereka kepada kami untuk melengkapkan naskah ini.
“Sekurang-kurangnya 34 lagi puisi diperlukan bagi menerbitkan buku ini,” katanya.
Program diadakan di Auditorium KUIM itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Melaka dengan sasaran peserta berumur 18 hingga 65 tahun.
-MF-