Oleh : MARINA SAHABUDIN
MELAKA – Tiada siapa yang tahu apa akan berlaku dalam kehidupan kita pada masa akan datang.
Walaupun mempunyai kerjaya tetap, namun ia tidak menjanjikan sebarang jaminan bahawa kita akan terus berjaya dalam karier diceburi.
Begitulah yang berlaku terhadap anak muda ini apabila selepas 8 tahun begelar wartawan dan juru kamera, dia kemudiannya diberhentikan kerja ketika peralihan kerajaan berlaku.
Walaupun pada awalnya agak terkesan, tetapi empunya nama Shazzuan Shah Mohd Salleh,34, ini berkata, dia tidak boleh memandang ke belakang dan mengambil semua itu sebagai ujian kehidupan.
Justeru, graduan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka ini nekad untuk berniaga nasi ayam sebagai punca rezeki.
Mesra disapa Wan, katanya, mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan memudahkan dia untuk terjun dalam bidang itu.
“Alhamdullilah, sejak kecil memang dah biasa meniaga, jadi sedikit sebanyak pengalaman dah ada.
“Berkat sokongan isteri dan keluarga juga menguatkan lagi semangat saya, ” katanya kepada Melakafirst.
BERMULA MODAL RM4,000
Memulakan perniagaan pada Januari tahun lalu, akui Wan, modal yang digunakan sekitar RM4,000 sahaja.
“Saya beranikan diri meniaga di Monorail Food Village ni sebab lokasinya strategik dan di tengah-tengah bandar.
“Malah ia menjadi kawasan tumpuan pelancongan yang mana mudah diakses sesiapa sahaja,” katanya.
Sehingga kini Wan mampu menjual kira-kira 15 ke 20 ekor ayam setiap hari bagi menu disediakan.
“Mula-mula tu memang agak perlahan hasil jualan, tapi bila orang dah tahu dan mula meminati menu di sini, jualan semakin baik dari masa ke semasa,” katanya.
AYAM GEPREK PALING LARIS
Berkongsi mengenai menu popular Kedai Nasi Ayam Abang Wan, jelasnya, menu yang paling mendapat sambutan adalah Nasi Ayam Geprek.
“Sebenarnya menu ni tercetus apabila isteri saya nak makan Nasi Ayam Geprek, tetapi sangat sukar dicari di Melaka, yang ada pun hanya Nasi Ayam Penyet.
“Jadi, saya cuba belajar bagaimana untuk membuat ayam dan sambal geprek. Kemudian saya jadikan menu istimewa di kedai ini.
“Tak sangka pula ia menjadi ‘top seller’,” katanya menu tersebut menjadi kegemaran bangsa India dan Cina.
Selain itu terdapat juga Nasi Udang Geprek, Nasi Sotong Geprek dan menu ‘signature’ Nasi Ayam Abg Wan.
Mengenai harga pula, ia amat berpatutan bermula RM 6 shingga RM12 untuk sotong dan udang.
Walaupun berhadapan pamdemik Covid 19, akui Wan, aplikasi food panda, grab food dan kaedah COD banyak meningkatkan hasil jualannya.
“Pada awal PKP dahulu, kami terpaksa tutup kedai dan ia sangat memberikan kesan kepada peniaga-peniaga.
“Tetapi dengan kaedah-kaedah moden sedia ada, sedikit sebanyak ia membantu saya membuat jualan dengan mudah. Malah laman sosial facebook, instagram dan lain-lain menjadi medium terbaik mengiklankan perniagaan Nasi Ayam Abg Wan,” katanya lagi.
-MF-