Oleh : MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
BATU BERENDAM – Beberapa bekas pemain bola sepak Melaka mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan kepada keluarga bekas penjaga gol Melaka era 80an, allahyarham Jantan Ali, 80, yang meninggal dunia 12 Januari lalu.
Majlis penyerahan sumbangan itu dilakukan bekas pemain bola sepak Melaka, Abdul Halim Jantan mewakili rakan bekas pemain kepada balu allahyarham, Rosnani Abd Kadir di Taman Seri Budi, Batu Berendam.
Menurut Abdul Halim, usaha mengumpulkan sumbangan itu sempena menghargai jasa bakti allahyarham dalam sukan bola sepak di negeri ini.
“Sumbangan ini atas dasar prihatin kami terhadap arwah yang banyak berjasa dan berkorban demi mengharumkan nama Melaka sebagai penjaga gawang yang kental dan sebagai jurulatih penjaga gol suatu masa dahulu,” katanya kepada Melakafirst.
Sementara itu, Rosnani berterima kasih kepada rakan-rakan arwah khususnya bekas pemain kerana menziarahi dan menghulurkan sumbangan.
“Saya amat menghargai sumbangan diberikan dan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang hadir menziarahi arwah ketika sakit dan meninggal dunia baru-baru ini,”katanya.
Sebagai rekod, allahyarham Jantan Ali merupakan bekas penjaga gol utama Melaka pada era awal 80an dan menghembuskan nafas terakhir pada 12 Januari lalu akibat barah usus.
Allahyarham antara tonggak penting pasukan Melaka ketika itu bersama pemain lagenda seperti Datuk Soh Chin Aun, G Torairaju, Ramli Junit, Rahim Abdullah, Akop Itam dan Azmi Hasan.
Kemuncak kejayaan allahyarham bersama rakan-rakannya pada tahun 1983 apabila Melaka berjaya menjadi juara Liga Malaysia.
Selepas bersara, allahhyarham meneruskan kerjaya dalam sukan bola sepak dengan menjadi jurulatih penjaga gol Melaka dan melahirkan ramai penjaga gol hebat seperti Mazlan Wahid, Yong Hwai Hwang, Rashid Mohamad, Asri Husin, Abd Wahab Mat Dali dan beberapa lagi dalam kancah Liga Malaysia.
-MF-