Oleh : MARINA SAHABUDIN
MELAKA – Bermula sebagai hobi, siapa sangka kek lapis Sarawak telah menjadi punca pendapatan bagi wanita berasal dari Bintulu ini.
Mempuyai kepakaran sejak berumur 10 tahun dalam bidang pembuatan kek lapis, akui Dayang Rofizah Abg Johnny, dia bersyukur kerana ibunya menjadi insan bertanggungjawab memupuk minatnya dalam bidang ini.
Menurutnya, ilham untuk serius dalam bidang ini lahir apabila kek lapis bercorak amat sukar didapati di negeri ini.
“Saya mula serius buat kek lapis pada usia 25 tahun. Walaupun banyak kek lapis di pasaran tetapi ia berbeza dengan apa dihasilkan saya.
“Corak unik menjadi keistimewaan kek lapis dijual dan ia antara faktor mengapa kek-kek ini terus mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya kepada Melakafirst.
Mesra disapa Kak Dayang, ujar wanita berusia 47 tahun ini, dia hanya menggunakan bahan berkualiti tinggi sahaja.
“Ini sangat penting untuk memastikan kek lapis dihasilkan mempunyai rasa terbaik. Sebab itu walaupun harga dikenakan agak tinggi, tetapi ia tidak menjadi pertikaian apabila pelanggan telah merasa kek tersebut.
“Malah mereka akan menempahnya berulang kali selepas rasa pertama,” katanya setiap resipi dihasilkan adalah asli.
Kongsi Kak Dayang, kek lapis ini juga boleh ditempah dalam pelbagai bentuk dan saiz.
“Kita sedia mengikut permintaan pelanggan, sama ada untuk cenderahati, majlis pertunangan, perkahwinan dan lain-lain.
“Harga pula mengikut jenis diminta, sehingga kini paling murah adalah Rm35 dan paling mahal sekitar RM250 bagi kek lapis hantaran,” katanya.
Bercerita mengenai kesukaran menghasilkan kek lapis, katanya, paling membimbangkan ketika hendak membakar kek tersebut.
“Setiap kek mempunyai masa berbeza memasaknya, ada cepat dan ada juga yang lambat.
“Saya perlu pantau dan lihat setiap minit untuk pastikan kek tersebut masak dengan tepat dan elok,” katanya.
Selain itu, sudah tentulah masa digunakan menghasilkan satu kek lapis itu menjadi cabaran bagi Kak Dayang.
“Untuk satu kek yang mempunya dua lapisan, ia mengambil masa sekitar 4 ke 5 jam, bagi kek lapis biasa sekitar 5 jam dan bagi kek yang mempunyai tiga lapisan, ia boleh mencecah 6 ke 8 jam.
“Lebih-lebih lagi kek bercorak seperti ‘diamond’ dan ‘tikar’, sudah tentu ia lebih mencabar,” katanya.
Dari aspek pemilihan warna pula, ia bergatung pada jenis rasa seperti Coklat Cadbury, Blueberry Cheese dan sebagainya.
Kak Dayang berkata, antara perisa pengenalan De.lapiz Pastillicious adalah Blueberry Cheese, Capuccino Cheese dan Cadbury.
Bagi yang berminat mencuba keistimewaan serta keunikan rasa kek lapis Kak Dayang, boleh dapatkan dengan menghubunginya menerusi laman sosial instagram dan facebook De.lapiz Pastillicious.
Kak Dayang juga mengalu-alukan mereka di luar sana menjadi agen jika ingin menambah pendapatan sampingan.
-MF-