MARINA SAHABUDIN
TELOK MAS – Kesempatan menemani anak-anak memerlukan daripada 6 sekolah rendah di DUN Telok Mas membeli keperluan persekolahan adalah sesuatu yang sungguh berharga.
ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effendi Ahmad berkata, selain dapat berkongsi rasa gembira, ia telah mengimbas kembali kenangan sendiri sewaktu beliau bersekolah pada tahun 1990 dahulu.
“Dapat kasut sekolah berjenama ‘Sparx’ memang idaman waktu sekolah rendah.
“Ada masa keluar air mata sebab saya mahu kasut tidak bertali tapi Encik (ayah) suruh juga beli yang bertali. Masuk sekolah menengah di pertengahan 1990an, saya suka jenama ‘Pallas Jazz.’
“Masa sekolah menengah, dapat guna yang bertali pula, saya rasa lebih ‘hero,” katanya menerusi laman sosial facebook milik beliau.
Tambah Fendi, beliau sangat bertrima kasih kepada Jawatankuasa Post-Exco Pendidikan Negeri Melaka yang memberikan kerjasama dan sokongan penuh keikhlasan dalam merealisasikan Program Ceria Kembali Ke Sekolah ini.
“RM150 bagi sesetengah orang adalah kecil tetapi, bagi mereka ini besar nilainya.
“Moga niat dan usaha terpuji ini menjadi pencetus kepada segala kebaikan buat kita semua disepanjang tahun 2021 ini,” katanya lagi.
-MF-