MELAKA – Sehingga kini terdapat sembilan kluster aktif di Melaka iaitu Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus serta Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah yang melibatkan banduan.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata,
daripada kluster itu 174 sedang dirawat di Hospital Melaka, 28 di PKRC Asrama Kolej Jururawat, 20 di Penjara Sungai Udang, 45 di Pusat Koreksional Jasin dan 217 pesakit dihantar ke PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor.
“Justeru untuk menampung jumlah pesakit hampir penuh di Hospital Melaka, Dewan Bistari Ayer Keroh bakal menjadi pusat kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) terbaharu di negeri ini daripada empat lokasi dicadangkan.
“Tiga lokasi lain dicadangkan adalah Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Dewan Tun Ali di Bukit Katil dan Dewan Citra Kasih di Durian Tunggal.
“Persiapan sedang giat dijalankan yang mana dewan tersebut sedang disusun atur mengikut kesesuaian dan spesifikasi ditetapkan” katanya.
Tambah Rahmad, PKRC berkenaan mampu memuatkan 200 ke 250 pesakit berisiko rendah pada satu-satu masa.
“Kita risau berlaku peningkatan lagi dan sebab itu kita bersedia. Jika masih tidak cukup, barulah PKRC lain akan dibuka,” katanya.
-MF-