MUHAMMAD ZAIDEE DAUD
JASIN – Pembinaan surau di Taman Lipat Kajang Perdana, di sini menggembirakan penduduk setempat sementelah ia memudahkan mereka melaksanakan solat dan aktiviti keagaaman.
Surau bernilai Rm242,000 itu dijangka siap akhir Mac ini.
ADUN Rim, Datuk Wira Ghazale Muhammad berkata, surau berkeluasan kira-kira 1,300 kaki persegi mampu memuatkan kira-kira 100 jemaah pada satu-satu masa.
“Kita berterima kasih kepada Pejabat Pembangunan Negeri kerana menyalurkan peruntukan kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk membina surau ini.
“Surau dibina sejak 2 Disember tahun lalu ini dilengkapi beberapa kemudahan seperti PA sistem, tandas, tempat wuduk, menara azan dan laluan OKU untuk lelaki dan wanita.
“Dengan adanya surau ini, ia dapat memudahkan umat Islam di taman ini melakukan tanggungjawab sebagai umat Islam dengan lebih baik,”katanya semasa menjalankan lawatan ke surau tersebut.
Hadir sama, Jurutera MPJ, Zainudin Samad, Penolong Pegawai Senibina MPJ, Nordiana Kadil, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lipat Kajang Perdana, Suhaimi Ahmad dan Setiausaha JAPERUN DUN Rim, Zulkifli Kalil.
Sementara itu, Suhaimi mewakili penduduk taman itu mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ghazali, Pejabat Pembangunan Negeri, MPJ, MAIM dan JAIM serta semua penduduk yang telah bekerjasama bagi merealisasikan pembinaan surau tersebut.
-MF-