MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
AYER KEROH – Keceriaan jelas terpancar di wajah 36 murid anak yatim dan asnaf dari Jasin, Kota Melaka, Bukit Katil dan Tangga Batu ketika memilih pakaian sekolah menerusi program Kembali Ceria Ke Sekolah 2021 anjuran MAYC Negeri Melaka.
Pengerusi MAYC Negeri Melaka, Asrul Khan Sher Jang Khan berkata, program diadakan di Pasar raya Mydin Ayer Keroh itu menjadi aktiviti tahunan dan memasuki tahun keempat penganjurannya kali ini.
Menurut Asrul Khan, objektif utama program untuk memberikan keceriaan kepada murid sekolah yang bakal menduduki persekolahan dalam Norma Baharu.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, penganjuran juga bermatlamat membantu meringankan beban ibu bapa serta penjaga murid sekaligus membantu golongan kurang berkemampuan.
“Semua kanak-kanak terlibat dipilih ahli jawatankuasa dan kami turut menjemput ibu bapa mereka hadir bagi memilih sendiri pakaian persekolahan bersesuaian dengan anak-anak mereka,”katanya.
Asrul Khan berterima kasih kepada semua ahli jawatankuasa MAYC dan pihak terlibat yang menyumbang dan menjayakan program berkenaan.
-MF-