MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
Masjid Tengkera antara masjid bersejarah tertua di negara ini.
Terletak di Jalan Tengkera dalam daerah Melaka Tengah, masjid ini dibina pada tahun 1141 Hijrah atau tahun 1728 oleh seorang pedagang dan ulama dari India, Muhammad Salleh pada zaman pemerintahan Belanda.
Masjid Tengkera juga pernah menjadi masjid negeri Melaka sebelum terbinanya Masjid Al Azim di Bukit Palah pada tahun 1990.
Masjid ini pada asalnya dibina daripada kayu balak didatangkan khas dari Kalimantan, Indonesia termasuk bahagian tiangnya dibina daripada kayu belian atau ulin.
Bahagian atapnya pula diperbuat daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu belian atau ulin.
Kedudukan Masjid Tengkera dikatakan telah diubah daripada kedudukan asalnya antara tahun 1750 hingga 1780 manakala binaannya pula diperbaharui antara tahun 1821 hingga ke 1850.
Masjid ini juga dibaik pulih dua kali iaitu pada tahun 1890 dan 1910.
Seni bina masjid ini sangat menarik dan unik kerana dikatakan memiliki pengaruh daripada Masjid Demak yang terletak di Jawa, Indonesia serta pengaruh gaya seni bina Melayu, Cina dan Sumatera.
Bahagian hadapan masjid ini dipagari tembok batu dihias kekisi porselin manakala pintu gerbangnya diukir tulisan khat dan berbumbung pagoda.
Seperti masjid-masjid lain di Melaka, bumbung masjid Tengkera direka bertingkat-tingkat sebanyak tiga lapisan bumbung terdiri daripada bumbung verandah, bumbung ruang sembahyang dan bumbung kubah.
Di bahagian hadapan verandah pula terdapat sebuah menara manakala bahagian bawah menara dibuat bumbung berkeliling.
Di dalam kawasan Masjid Tengkera ini terdapat sebuah makam, iaitu makam Sultan Hussein Muazzam Shah (Tengku Long), Sultan Johor ke-17 yang telah menandatangani perjanjian penyerahan awal Singapura kepada Sir Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman pada 6 Februari 1819.
Baginda telah berhijrah ke Melaka dan mangkat pada 5 September 1835 Masihi lalu dimakamkan di penjuru tanah perkuburan dalam perkarangan masjid ini.
-MF-