MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MASJID TANAH – Projek Kebuniti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah merupakan platform bagi meningkatkan kemahiran pertanian dalam diri pelajar di sini.
Pengarah IKTBN Alor Gajah, Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata, projek melibatkan 25 pelajar itu bermula November tahun lalu dan telahpun membuahkan hasil.
Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan usaha dan langkah awal memberi nilai tambah pengetahuan dan kemahiran pertanian bandar yang mengikuti bidang hospitaliti dan elektrik.
“Fasa pertama projek itu disertai MPP dan mereka berpeluang mengikuti kursus asas penanaman fertigasi cili bara dan proses penyediaan kebun.
“Mereka turut diberi panduan dan bimbingan penanaman anak pokok daripada pegawai Pejabat Pertanian Alor Gajah” katanya pada majlis perasmian projek itu.
Tambahnya, projek ini secara tidak langsung dapat memenuhi masa terluang selepas waktu belajar dan hujung minggu.
“Aktiviti berfaedah seperti ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara pegawai, kakitangan dan pelajar IKTBN Alor Gajah,”katanya.
Pada majlis itu, 500 pokok cili api bara ditanam dan sebanyak 10 kilogram cili dikutip.
Hadir sama Timbalan Pengarah HEP, Mohd Firdaus Mazlan, Penyelia Program Mizan Malik, pegawai dan kakitangan serta barisan MPP IKTBN Alor Gajah.
-MF-