MARINA SAHABUDIN
BACHANG – Seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) meluahkan rasa terharunya apabila menerima sumbangan rumah baharu daripada
Pertubuhan Komuniti Legacy EIS Group Berhad (COMLEG).
Abd Rahim Hamid, 49, berkata, hampir 10 tahun dia terpaksa menetap di rumah bocor dan serba kekurangan.
Bagaimanapun, menerusi keprihatinan COMLEG, dia kini mendapat kehidupan lebih baik dan selesa.
“Dulu lagi susah, bila hujan memang tak boleh tidur. Air masuk rumah, saya pula OKU susah nak uruskan semuanya sendiri.
“Sekarang rumah baru sangat bersih, dah tak kotor. Malah nak sembahyang pun mudah,” katanya kepada Melakafirst.
Ujar Abd Rahim, dia sangat bersyukur kerana masih ada pihak yang sudi dan prihatin terhadap nasib diterimanya.
“Saya OKU sejak 20 tahun lalu kerana masalah urat saraf. Tapi saya bertuah kerana pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta orang kampung sentiasa membantu,” katanya.
Sementara Pengerusi COMLEG, Dato Zulkifli Ibrahim berkata, sumbangan tersebut hasil usaha Biro Kebajikan COMLEG.
“Mereka akan buat lawatan kerja memantau masyarakat yang benar-benar layak sahaja dan selepas itu barulah kita laksanakan urusan bantuan,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi JPKK Bakar Batu, Mokhtar Amsah.
-MF-