MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
Abu Darda’ seorang sahabat nabi S.A.W berkata,” Mahukah engkau aku beritahukan sebaik-baik perbuatan yang paling suci di sisi Tuhan dan akan mengangkat darjat lebih tinggi berbanding memerangi musuh dan lebih baik dari dirham dan harta yang banyaknya? Itulah zikir kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya zikir kepada Allah S.W.T adalah amalan paling besar”.
Hari ini manusia begitu sibuk melakukan pelbagai tugasan dan aktiviti harian. Kehidupan yang dilalui saban hari adalah begitu getir dan mencabar.
Lantaran itu, terdapat segelintir manusia yang “terbabas”dari landasan hidup sebenar seperti yang dikehendaki oleh Allah S.W.T.
Ibadah asas seperti solat dan puasa seorang hamba mestilah ditunaikan walaupun kita terlalu sibuk bekerja.
Kealpaan terhadap kewajiban ini akan mengakibatkan kita kehilangan arah tujuan hidup.
Manusia yang jiwanya jauh dari Allah S.W.T, akan lenyap keberkatan dalam kehidupannya.
Jadi, tidak pelik sekiranya terdapat sesetengah manusia mengambil pendekatan yang bercanggah dengan Islam dalam menongkah arus kehidupan di dunia fana ini.
Justeru itu, marilah kita kembali kepada agama Allah S.W.T. Salah satu yang dapat mendatangkan ketenangan sejati kepada jiwa dan akal kita adalah Zikrullah (ingat Allah).
Kita hendaklah mengingati-Nya setiap masa dan ketika. Sesungguhnya berzikir (mengingati) kepada Allah mampu memberi ketenangan sebenar ke dalam jiwa, emosi dan mental kita.
Manusia yang jiwanya tenang akan terpancar ketenangan itu dalam aspek fizikalnya.
Dia akan menjadi orang yang tenang dalam melakukan pekerjaan, tidak bersifat gopoh dalam menyiapkan sesuatu tugasan, tidak terburu-buru membuat keputusan atau menyelesaikan sesuatu masalah.
Sesetengah manusia mengambil pendekatan tersendiri untuk mencapai ketenangan seperti berkunjung ke tempat hiburan berunsur maksiat, menjerit di kawasan lapang, tidur sepanjang hari, makan terlalu banyak dan sebagianya. Semua pendekatan ini tidak bertepatan dengan saranan Allah S.W.T., malah ia boleh memudaratkan tubuh kita.
Sebaliknya, Islam mengajar kita mencari dan mencapai ketenangan yang sejati dengan berzikir kepada Allah S.W.T.
Oleh itu, marilah kita kembali kepada kehidupan sebenar sebagai seorang Muslim seperti yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.
Jadikan ia panduan hidup yang sejati supaya kita terselamat dariapda siksa kubur dan neraka Allah S.W.T.
Dalam hal ini, kita disarankan supaya menjadikan para ulamak sebagai tempat rujukan kerana mereka adalah pewaris nabi.
Ingatlah sekiranya syurga menjadi idaman, ingatlah Allah S.W.T setiap masa.
-MF-