MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Rasululullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah, iaitu hari yang lebih besar daripada Hari Raya Aidil-Adha dan Hari Raya Aidil-Fitri.
Pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian, iaitu hari yang dijadikan Adam dan beliau diturunkan dari Syurga ke muka bumi dan pada hari itu juga wafatnya Adam, Allah s.w.t mengurniakan satu saat doa-doa dikabulkan kecuali doa- doa maksiat dan pada hari Jumaat juga terjadi hari Kiamat”. (Hadis Riwayat: Ibnu Majah)
Berikut dikongsikan perkara-perkara Amalan dan Sunnah pada hari Jumaat:-
- Mandi Sunat
Sunat mengelokkan rupa paras dan membersihkan anggota tubuh badan sebelum keluar solat seperti memendekkan atau mencukur misai, bulu ketiak, bulu pada kemaluan, menggosok gigi dan sebagainya. - Bersugi (Bersiwak)
Dari Aisyah r.a.h. “Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya”. (Riwayat Baihaqi)
Kelebihan Bersugi atau bersiwak ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang dengan tidak bersugi”. (Riwayat Muslim)
- Memotong Kuku
Selain sebagai amalan sunat, memotong kuku juga dapat membersihkan tangan kerana kuku yang panjang boleh menyebabkan kekotoran terkumpul di celah-celah kuku. Lagikan pula, makan menggunakan tangan antara amalan Sunnah dan menjadi keperluan untuk kita menjaga kebersihan tangan bagi mengelakkan tangan yang kotor memasuk makanan ke dalam mulut. - Memakai Pakaian Yang Elok
Memakai pakaian yang elok sangat dituntut terutamanya pada ketika hendak menunaikan solat. Tambahan pula, pakaian yang elok akan memperlihatkan identiti dan peribadi seseorang Muslim terhadap orang lain. Cukup sekadar memakai pakaian yang bersih dan nampak cantik. Tidak perlu sentiasa membeli pakaian baru sedangkan pakaian lama masih elok kerana takut berlaku pembaziran. - Memakai Wang-wangian
Memakai wang-wangian antara amalan sunat yang digalakkan sebelum solat seperti bau di syurga juga adalah wangi. Akan tetapi, wangian yang dipakai hanya cukup sekadar keperluan kerana jika berlebihan dikuatiri akan menganggu jemaah lain yang turut sama menunaikan solat. - Perbanyakkan Doa dan Zikir
Terdapat satu waktu yang dikabulkan doa di dalam hari Jumaat. Sesiapa yang berdoa di dalam waktu tersebut Allah swt akan mengabulkan doanya. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya pada hari Jumaat terdapat satu masa apabila seorang hamba Muslim berdoa kepada Allah s.w.t akan kebaikan bertepatan dengan masa itu Allah s.w.t akan memperkenankan apa yang diminta.” (Hadis Riwayat : Ahmad)
Seseorang yang banyak berdoa dan berzikir hidup disisi Allah s.w.t (apa yang dihajatinya/dipohonya mudah dimakbulkan oleh Allah s.w.t), menenangkan hati, mengwujudkan kegahirahan beribadah dan sentiasa mengingati Allah s.w.t.
- Memperbanyakkan Selawat ke atas baginda Rasulullah s.a.w
Daripada Abu Aus bin Aus ra bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari Jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti). (Hadis Riwayat : Abu Daud)
Mereka yang berselawat akan mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah s.a.w. Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah s.a.w secara langsung, mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup di dunia dan akhirat serta banyak lagi.
- Membaca Surah Al-Kahfi
“Barangsiapa yang membaca surah Al-Khafi pada hari Jumaat maka akan memancar cahaya dari bawa kakinya sampai ke langit, akan meneranginya kelak pada hari kiamat, dan diampuni dosanya antara dua Jumaat”. (Hadis Riwayat; Al-Hakim dan Al-Baihaqi) - Membaca Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan
Dianjurkan untuk kita membacanya ketika solat Subuh pada hari Jumaat. Ia sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW biasa membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat ‘Alam Tanzil…’ (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama dan ‘Hal ataa ‘alal insani hinum minad dahri lam yakun syai-am madzkuro’ (Surah al-Insan) pada rakaat kedua.” (Riwayat Muslim). - Bersegera Pergi Ke Masjid
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi hadas besar), kemudian pergi ke masjid pada saat yang pertama (ganjarannya) seolah-olah mengorbankan seekor unta. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang kedua seolah-olah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang ketiga seolah-olah mengorbankan seekor kambing yang bertanduk. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang keempat seolah-olah mengorbankan seekor ayam. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang kelima seolah-olah mengorbankan sebiji telur. Apabila imam keluar (naik ke mimbar) para malaikat hadir mendengarkan nasihat dan peringatan.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari)
Hadis diatas juga menerangkan ganjaran pahala orang yang datang awal ke masjid tidak sama dengan orang yang datang kemudian, pahalanya berbeza-beza, orang yang paling awal mendapat ganjaran yang besar berbanding dengan orang yang datang lambat.
- Perbanyakkan Bersedekah
Sedekah antara amalan sunat yang dituntut dalam Islam kerana selain dapat menyucikan harta kita, harta yang diberi dapat membantu bagi mereka yang memerlukan dan mengeratkan hubungan sesama manusia. - Perbanyakkan Solat Sunat
Selain solat fardu yang diwajibkan, kita digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti solat Dhuha dan solat sunat Rawatib. Digalakkan juga untuk bangun sepertiga malam untuk menunaikan solat sunat tahajud dan lain-lain bagi menambahkan amalan sebagai tanda kwtakwaan kita kepada Allah S.WT.
Sangat rugi jika kita tidak mengambil kelebihan ini untuk kita perbanyakkan amalan semasa hari Jumaat. Jangan disebabkan terlalu sibuk dengan pekerjaan, kita terlupa dan terlepas untuk memperbanyak beribadah.
Wallahu A’lam.
-MF-