MARINA SAHABUDIN
MELAKA – Pejabat PERKESO Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka menubuhkan pasukan petugas khas (taskforce) bagi mengesan majikan di Melaka yang masih belum melakukan saringan Covid 19 ke atas pekerja asing mereka.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, usaha itu dilaksanakan bagi membantu kerajaan membendung penularan wabak Covid 19 khususnya dalam kalangan pekerja asing.
Menurutnya, pelaksanaan program ini berdasarkan penilaian risiko jangkitan dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kalangan pekerja asing yang lebih tinggi berbanding pekerja tempatan.
“Sehingga 27 Januari lalu, sebanyak 99 majikan dilawati di sekitar kawasan Melaka. Berdasarkan statistik tersebut, terdapat 12,447 pekerja asing daripada pelbagai sektor iaitu keselamatan, perladangan, pembuatan, pembungkusan, pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan pekerjaan.
“Daripada jumlah ini, hanya 2,628 pekerja telah disaring manakala selebihnya tidak menjalankan ujian saringan.
“Justeru, majikan diberi tempoh dua minggu untuk menjalankan ujian saringan ke atas pekerja asing mereka,” katanya.
Tambah Rahmad, ujian saringan RTK Antigen hendaklah dijalankan di mana-mana klinik dan hospital swasta menawarkan perhidmatan tersebut dan kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya pihak majikan.
“Program ini dikuatkuasakan Kementerian Sumber Manusia di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.
“Mana-mana majikan yang gagal membuat saringan pekerja asing boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya di bawah Peraturan 13 (1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No. 9) 2020),” katanya.
Sebarang pertanyaan sila hubungi PERKESO melalui talian 03-4264 5089 atau 1-300-22-8000, atau layari Portal PSP di https://psp.perkeso.gov.my.
-MF-