Oleh: MARINA SAHABUDIN
AYER KEROH – Kelmarin negara digemparkan dengan kejadian tragis kematian kanak-kanak
Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7 tahun, yang ditemui maut disyaki didera ibu kandung
dan bapa tirinya.
Kejadian tersebut mendapat liputan berbagai versi dan turut menerima tumpuan ialah seorang
individu, Aflieza Arshad apabila hantaran mengenai kisah ibu mangsa yang dicatat
di laman muka buku milik beliau turut dikongsisebar warganet.
Aflieza yang juga bekas wartawan sewaktu ditemui MelakaFirst berkata perkenalan dengan ibu kandung
arwah Amir Qusyairi, Zuraida Atan atau Zura berlaku secara tidak sengaja kira-kira empat tahun lalu,
apabila terserempak wanita terbabit menunggang motorsikal bersama dua anak dalam keadaaan berbahaya.
“Saya dalam perjalanan ke pejabat ketika terserempak Zura yang membonceng bersama dua anak kecil
melintas susur jalan di persimpangan MITC dekat Ayer Keroh.
“Saya nampak dengan jelas Zura memegang ‘handle’ motorsikal menggunakan sebelah tangan,
semantara sebelah lagi menampung posisi dukungan bayinya yang diikat dengan kain gendongan
dan seorang lagi anak membonceng di belakang motorsikal.
“Risau melihat situasi itu jika motor terjatuh atau apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku,
jadi saya bergegas memandu menghampiri wanita tersebut dan terus bertanya ke mana arah tujuannya,”
kongsi Aflieza.
Menurut beliau lagi, Zura memberitahu dia dari Krubong Jaya dan mahu menghadiri kursus kecantikan
dianjurkan oleh sebuah syarikat kosmetik yang diadakan di bangunan World Assembly of Youth (WAY) bagi
meningkatkan kemahiran dan menambah pengetahuan dalam bidang diminatiya.
“Saya tanya kenapa bawa anak-anak naik motor dalam jarak yang jauh dari krubong ke MITC dan dia
memaklumkan tiada kenderaan selain motor dan tidak ada orang yang boleh membantunya menjaga anak-anak.
“Saya tawarkan diri untuk menghantar Zura ke bangunan WAY dan mencadangkan dia supaya tingalkan motor
dibawanya di McD MITC. Sementara dia menolak motor ke ruang parkir, saya mendukung bayi
perempuan dan memimpin anak lelakinya menuju ke kereta. Hati saya sangat tersentuh melihat situasi
itu,” kongsi Aflieza lagi yang kemudiannya kembali ke pejabat sesudah menghantar Zura ke bangunan WAY.
Tambah Aflieza lagi, walaupun berada di pejabat tetapi fikirannya diasak berbagai
persoalan mengenai Zura dan dia turut menghantar ‘watsap’ bertanyakan keadaan wanita itu bersama
anak-anaknya dalam program kursus tersebut.
“Saya ‘watsap’ Zura tanya macam mana suasana kursus, anak-anaknya ok atau tidak.
Respon Zura positif. Anak-anaknya pun tidak meragam. Dan ramai juga peserta lain yang menawarkan
bantuan termasuk mendukung anak kecilnya semasa dia mengambil sijil penyertaan kursus.
“Lebih kurang jam 2, Zura menghubungi saya memaklumkan kursusnya sudah tamat dan
bertanya sama ada saya boleh mengambilnya atau tidak. Sudah tentu saya perlu ambi dia sepertimana
yang dijanjikan, maka secepat itu juga saya keluar dari pejabat menuju ke bangunan WAY.
“Dari jauh lagi saya nampak kelibat Zura dan anak-anaknya. Seorang dalam dukungan dan seorang lagi
dipimpinnya. Kiri bahunya bergantung beg susu dan persalinan bayi manakala bahu kanan
disangkutnya beg kecil mengandungi ‘starter kit’ kursus yang dihadirinya,” kongsi Aflieza.
Menurut Aflieza lagi, dia memang berniat untuk bersembang lama dengan Zura. Jadi dipelawanya wanita
itu makan tengahari dulu di restoran Selera Bung milik kawan beliau di Taman Tasik
Utama.
“Saya tawarkan diri mendukung anak kecilnya supaya Zura dapat melayani seorang lagi anak lelakinya.
Saya perhatikan Zura sama seperti wanita lain, punya naluri keibuan dan bersifat penyayang kepada
anak-anaknya.
“Disuapnya makanan kepada anak lelakinya dengan penuh manja. Sesekali dia mengagah bayi perempuan yang
dalam dukungan saya. Zura lebih banyak senyum dan mulai ramah berbanding pertemuian ada awal pagi
sebelumnya.
“Sebenarnya berbagai persepsi bermain dalam fikiran saya. Dari sudut positifnya, saya menilai Zura
sebagai seorang wanita tabah. Dalam keadaan serba kekurangan begitu dia gigih menghadiri kursus,
sudahlah keadaan motor tidak begitu elok, berani pula dia mengambil risiko bawa anak-anak,”
kongsi Aflieza yang juga seorang deklamator negara berkongsi perihal Zura, wanita malang yang diserang
masalah psikologi dan perilaku.
Semasa menghantar mereka pulang, Aflieza membaringkan si kecil di kerusi hadapan keretaya, bersendalkan
bantal kecil dan alas baju supaya selesa dan selamat, manala anak lelakinya duduk di bahagian
belakang sementara Zura pula mendahului dengan motorsikal kapcainya.
“Dalam hati masa tu memang ada terdetik, mesti ada sesuata yang berlaku dalam hidup Zura ni.
Dia bekas pelajar kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) dan memiliki diploma kejururawatan juga,
apa lagi seraut wajah cantik, memungkinkan dia memiliki kerjaya dan kehidupan yang bagus sepatutnya.
“Saya juga membayangkan, dia dari keluarga susah. Mungkin rumahnya juga kecil sesuai kondisi motor
kapcainya. Tapi telahan saya salah sama sekali sebaik saya sampai di rumah Zura. Teres dua tingkat
lot tengah di kawasan perumahan baharu di Krubong Jaya yang anggaran hartanah
agak tinggi, bukanlah penempatan orang susah.
“Apabila ditanya mengenai keluarga, pada mulanya dia agak keberatan untuk bercerita.
Tetapi menerusi hubungan baik yang terjalin selepas pertemuan tersebut, banyak juga
kisah peribadi yang dikongsi. Saya anggap dia juga misteri kerana ada kalanya dia
tidak konsistan dengan apa yang dibualkan,” cerita Aflieza lagi dan mengakui mula teruja untuk
mengetahui lebih lanjut mengenai kisah wanita tersebut.
Tambah Aflieza, Zura memberitahunya rumah yang didiami dibeli bekas suami, dan meskipun mereka bercerai
tetapi dia dibenarkan tinggal di situ bersama suami baharu dan anak-anaknya dengan syarat tertentu.
Zura juga mengakui dia beruntung kerana mempunyai tempat berlindung, tetapi perlu mencari sumber pendapatan
untuk menampung kehidupan termasuk merancang untuk mengambil Amir dari keluarga angkat jika kewanganan
mulai stabil.
“Jauh di surut hati, saya yakin, Zura menyayangi anak-anaknya termasuk arwah Amir. Jika tidak masakan dia
berusaha mahu meningkatkan pendapatan, antara tujuannya bila kewangan stabil dia mahu menjaga dan
membesarkan Amir. Dia sayang dan merindui anak kandungnya. Saya sendiri sukar menerima hakikat
yang Zura sanggup bertindak sekejam ini.
“Kita belum tahu apa yang berlaku, jangan terus menghukum. Saya bukan membela Zura, yang salah tetap salah
tetapi kita tunggulah dulu apa keputusan siasatan. Mungkin bukan dia yang melakukan kezaliman ini,
tetapi kalaulah betul Zura yang membunuh, dia wajar menerima hukuman setimpal. Kasihan Amir, anak kecil
yang menjadi mangsa penceraian, kemudian didera pula dan mengakhirnya hidupnya dengan begitu tagis,”
ujarnya.
Menurut Aflieza lagi, sejak pertemuan tersebut mereka sering berhubung dan Zura kerap menghantar watsap
memaklumkan keadaan dirinya dan anak-anak. Sesekali ada juga Zura mengeluh mengenai kelangsungan hidup
dan bebanan minda yang dihadapi.
“Adalah juga rahsia peribadi dan kisah silam yang diceritakan. Saya pegang amanah itu dan tidak
pernah terlintas untuk mendedahkan kepada sesiapa pun. Dia sedaya upaya untuk ‘move on’ dari kehidupan
silam dan merancang yang terbaik untuk kehidupan masa hadapannya.
“Semasa saya membuka pusat urutan dan refleksologi My Ladies Spa di Melaka raya pada 2018, Zura adalah
yang terlintas di kepala untuk diajak bekerja bersama. Tapi ketentuan lain mengahalang dia bekerja
dengan saya kerana faktor jarak yang agak jauh dari rumahnya dan juga komitmen keluarga.
“Saya mengetahui Zura mengambil arwah Amir daripada keluarga angkat menerusi hebahan
video yang mulai viral. Terus saya hubungi Zura berkali -kali tetapi tiada jawapan, watsap juga tidak lagi
dibalas. Terlintas juga mahu ke rumah Zura bila tahu kisah dia kembali menjaga arwah
Amir tetapi tidak kesampaian dek terhalang beberapa hal,” beritahu Aflieza lagi.
Aflieza memaklumkan dia diberitahu mengenai kematian arwah Amir menerusi rakan setaman Zura
dan masih sukar untuk menerima hakikat bahawa Zura tergamak menamatkan riwayat anak sulung yang
dilahirkan dari rahim sendiri dengan kejam melainkan emosinya luar kawalan.
“Dariapda kisah Zura ini, satu yang dapat saya simpulkan, ‘depression’ bukanlah satu penyakit
yang kita perlu kita pandang remeh. Ia pembunuh senyap yang paling merbahaya. Penyakit yang tidak
nampak dan tiada ubat khas untuk sembuh. Tuan diri pun belum tentu tahu dia mengalami simptom tekanan.
“Jadi jika ada sesiapa pun dalam kemurungan, jangan kita terus menghukum, sebaliknya bantulah dan
sokonglah supaya mereka lebih bersemangat dan rasional. Kisah allahyarham adik Amir dan masalah
Zura adalah isu sejagat yang perlu diberi perhatian semua.
“Keadaan ini relevan dengan situasi ketika ini, pada musim Covid juga ramai orang mengalami tekanan,
perniagaan merudum, pendapatan tiada, kewangan rapuh dan sebagainya yang menyumbang kepada gangguan
emosi dan tekanan. Jadi sama-sama kita ambil tanggungjawab ini bersama,” pesannya mengakhiri perbualan.