MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
FOTO: MFL
Liga Bola Sepak Malaysia menangguhkan jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa di seluruh negara, kecuali Sarawak sehingga 4 Februari ini.
MFL dalam satu kenyataannya turut membatalkan saingan Piala FA musm ini bagi memastikan keseimbangan jadual dan mengelak pasukan terbeban dengan jadual padat, sekali gus memberi impak kepada kualiti Liga-M.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL juga membuat keputusan kalendar Liga-M musim 2021 menyaksikan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup diteruskan.
“Tahun lalu, MFL terpaksa membatalkan kempen Piala FA dan Piala Malaysia berikutan pandemik COVID-19, manakala saingan Liga Super dan Liga Premier dipendekkan.
“Keputusan meminda tarikh permulaan liga dari 26 Februari kepada 5 Mac dicapai menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian dan telah mengambil kira pandangan serta persetujuan daripada wakil pasukan dalam satu taklimat khas semalam,”katanya.
Beliau berkata MFL akan menyediakan beberapa mekanisme seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan yang lebih ketat.
“SOP kem latihan berpusat secara kuarantin dilaksanakan bagi memastikan saingan musim ini berjalan lebih efektif dan selamat selain menghindari segala prospek pandemik COVID-19.
-MF-