MARINA SAHABUDIN
Kitab suci Al-Quran kalamullah bukan sekadar peninggalan Rasulullah SAW semata-mata.
Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW ini terkandung di dalamnya seribu satu penawar yang mampu menghilangkan resah, menyembuhkan duka serta memberi penyelesaian kepada semua permasalah kehidupan.
Islam memberitahu bahawa pembaca Al-Quran yang baik itu bukan sahaja meyebut kalimah Al-Quran dengan betul, namun pada masa yang sama akalnya harus mentadabbur makna dan memahami pengertian, sementara perasaannya turut sama menghayati tuntutan Al-Quran dan khusyuk kepada yang Maha Mencipta.
Tidak hairanlah rancangan Haflah yang disiarkan di TV AlHijrah pada Disember lalu selama lapan episod mendapat tempat di hati penonton yang rata-rata merasakan pentingnya mempelajari ilmu tarannum sebagai menunaikan hak tilawah Al-Quran sebaiknya.
Rancangan ini harus diteruskan agar malam penonton dihiasi dengan pesta Al-Quran yang mendamaikan.
Tidak mahu menghampakan penonton, TV AlHijrah menyiarkan rancangan Gema Haflah Munajat yang menjadi kemuncak buat rancangan Haflah yang telah tamat siarannya pada 23 Januari lalu.
Menerusi Gema Haflah Munajat, hati penonton dihujani pembacaan Al-Quran dengan penuh tertib dan menggunakan maqam seni taranum seperti Bayati, Nahawand, Rast, Jiharkah, Sikah dan Hijaz.
Memberikan kelainan pada sesi siaran langsung ini, Gema Haflah Munajat menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai tetamu istimewa yang berperanan sebagai pentausiyah.
Tambah menarik beliau akan bersama barisan Qari kebangsaan seperti Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Ahmad Tarmizi Abd Rahman, Dr. Anuar Hasin, Ustaz Wan Ainuddin Hilmi, Ustaz Wan Fakhrul Razi, Ustaz Abdul Khair Jalil, Ustaz Amirahman Abbas dan Ustaz Azraie Dato’ Abdul Hak yang akan mengalunkan bacaan doa-doa yang dipetik daripada surah-surah Al-Quran dengan penuh kelunakan dan tertib.
Doa-doa ini mampu mendamaikan nurani penonton di saat ketidaktentuan yang berlaku disebabkan kebimbangan terhadap peningkatan penularan pandemik Covid-19.
TV AlHijrah yakin Gema Haflah Munajat mampu memberi nilai tambah di dalam kehidupan seharian penonton serta sesuai dijadikan bahan tontonan hujung minggu seisi keluarga.
Ayuh kita jadikan pesta tarannum Al-Quran ini sebagai halwa telinga yang memberi manfaat buat semua.
Untuk mendapatkan maklumat terkini serta menikmati rancangan dan perkembangan semasa dunia dan tanah air, jangan lupa untuk ‘Like’ dan ‘Follow’ laman sosial Facebook TV AlHijrah dan Instagram TV AlHijrah.
-MF-