MARINA SAHABUDIN
ALOR GAJAH – Kampung Permai Machap Umboo Baru menjadi kampung pertama di negeri ini menyertai program kitar semula berganjaran SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), iaitu KITARecycle.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, SWM Environment giat menjalankan program berimpak tinggi bersama masyarakat bagi membudayakan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.
“Ini termasuklah program KITARecycle yang bertujuan memberi kesedaran dan meningkatkan penglibatan orang ramai melakukan aktiviti kitar semula.
“Penyertaan kampung ini sebagai perintis dalam program KITAReycle diharap dapat mewujudkan komuniti prihatin terhadap sisa dijana daripada rumah.
“Ia selari dengan hasrat kerajaan ingin mendidik masyarakat melakukan pengasingan sisa di punca melalui pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672),” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis pelancaran KITARecycle di Kampung Permai Machap Umboo Baru diadakan Disember tahun lalu.
Turut hadir, Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Richard Tan Wuu Chyau.
Tambah Mohd Norlisam, menerusi KITARecycle, mereka berpeluang mendapatkan mata ganjaran bagi 25 jenis barangan kitar semula.
“Semua penduduk berdaftar dengan KITARecycle akan mendapat kod QR unik yang perlu ditampal di setiap beg barangan kitar semula.
“Pihak SWM Environment akan membuat kutipan khas KITARecycle sebulan sekali pada hari Sabtu minggu pertama.
“Penduduk hanya perlu meletakkan beg mengandungi barangan kitar semula di tepi tong sampah di hadapan rumah masing-masing. Mata ganjaran dikumpul melalui KITARecycle boleh ditebus kepada wang tunai,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak SWM Environment juga mensasarkan untuk memperluaskan penglibatan kampung lain di seluruh Melaka dalam program ini.
“Kampung ini akan dijadikan model kepada kampung lain. Hasil usaha ini, penglibatan penduduk dan jumlah barangan kitar semula yang
berjaya dikumpul akan digunakan untuk menambah baik pelaksanaan KITARecycle di kampung lain di negeri ini,” katanya
-MF-