MARINA SAHABUDIN
POKOK MANGGA – Makanan menjadi keperluan utama semasa berhadapan pandemik Covid 19.
Sementelah ada di antara kita yang terjejas punca pendapatan sekaligus kehilangan sumber mencukupi mendapatkan bekalan makanan.
Lebih memeritkan apabila dalam sesebuah keluarga itu bilangan isi rumah terdiri daripada anak kecil.
Prihatin dengan nasib menimpa penduduk di Taman Pokok Mangga, jawatankuasa JPKK Seri Mangga, UMNO Cawangan Taman Pokok Mangga dan Surau Al- Mubarak Taman Pokok Mangga turun padang menyampaikan sumbangan kita makanan kepada golongan memerlukan.
Menurut, Pengerusi JPKK Seri Mangga, Noor Hasryzal Hasnoh, usaha berkenaan diharap dapat mengurangkan bebanan dan tekanan dialami mereka.
“Tidak semua bertuah masih mempunyai pekerjaan dan mampu berbelanja dalam keadaan ekonomi yang semakin meruncing kini.
“Kami harap apa dilaksanakan ini memudahkan urusan golongan yang terjejas ini sedikit sebanyak,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Surau Al-Mubarak Taman Pokok Mangga, Ismail Jantan dan Imam Surau Al-Mubarak Taman Pokok Mangga, Ustaz Shahrudin Ayub.
Pada program itu sebanyak 30 kit makanan PKP2.0 fasa dua telah disampaikan.
-MF-