MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia Cawangan Negeri Melaka (PGSM Melaka) menyediakan Program Khidmat Nasihat dan Rundingan Syariah secara percuma sebagai usaha menangani masalah institusi kekeluargaan Islam di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata program yang berakhir pada 31 Disember itu bertujuan membantu orang ramai khususnya pasangan Islam mendapatkan pandangan profesional berkaitan isu-isu kekeluargaan.
Menurut beliau, nasihat dan rundingan syariah ini berpandukan hukum syarak serta Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
“Orang ramaiboleh mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan disediakan menerusi aplikasi Whatapps, panggilan telefon atau bersemuka melalui temujanji bersama 33 Ahli Peguam Syarie Melaka berdaftar di bawah PGSM Melaka.
Program juga bagi mengurangkan permasalahan individu yang mempunyai masalah dan konflik rumah tangga, khususnya sepanjang tempoh PKP 2.0,” katanya.
Antara khidmat nasihat dan rundingan syariah yang ditawarkan ialah permohonan perceraian secara baik, fasakh, taklik dan tebus talak, tuntutan nafkah iddah, mutaah, nafkah isteri dan tunggakan nafkah isteri, hak jagaan anak dan nafkah anak.
Selain itu, khidmat lain disediakan seperti rundingan harta sepencarian, hibah dan faraid, iktiraf nikah dan iktiraf nikah poligami.
-MF-