MARINA SAHABUDIN
MELAKA – Pandemik Covid 19 sememangnya memberikan kesan mendalam khususnya kepada peniaga termasuk cafe, restoran, gerai, kedai dan lain-lain lagi.
Pengerusi Persatuan Restoran dan Kafe Melaka (MR&CO), Ahmad Shukri Abdul Shukor berkata, ini kerana rata-rata pelanggan terdiri daripada pelancong luar yang mengunjungi negeri ini.
Menurutnya, ketiadaan pelancongan rentetan PKP menyebabkan peniaga mengalami kemerosotan jualan sehingga 90 peratus.
“Rata-rata peniaga perlu menanggung komitmen sangat tinggi dan tidak mampu untuk membayar kos ditanggung pada musim PKP.
“Pelanggan sangat berkurangan dan ini menjadi punca kepada kemerosotan yang amat teruk sehinggakan ada peniaga terpaksa menjual perniagaan walaupun telah berniaga bertahun-tahun,” katanya kepada MelakaFirst.
Jelas Ahmad Syukri, situasi ini sekaligus meningkatkan hutang dan mengakibatkan peniaga sukar menstabilkan perniagaan untuk bertahan lebih lama.
“Melihat ramai rakan seperniagaan di kawasan pelancongan terpaksa menutup terus dan sementara untuk mengelak menanggung beban amatlah menyedihkan.
“Malah, pekerja sedia ada juga terpaksa diberhentikan kerana operasi niaga telah dikecilkan.
“Walaupun perniagaan secara atas talian boleh dilakukan namun, dalam radius 10 kilometer sahaja dan ini menghadkan jualan harian,” katanya sehingga kini terdapat 150 cafe dan restoran menjadi ahli MR&CO.
Tambah Ahmad Shukri lagi, pihaknya merayu kepada kerajaan supaya memberi kebenaran untuk membuka kedai dengan SOP yang ketat sebagai ikhtiar menyelematkan mereka daripada bebanan yang lebih besar.
Dengan adanya kebenaran seperti itu, setidak tidaknya perniagaan dapat bertahan dan mengurangkan risiko usahawan industri makanan gulung tikar dan sebagainya.
-MF-