MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MERLIMAU – Persatuan Bulan Sabit Merah Melaka (BSMM) Jasin bersedia memberikan perkhidmatan ambulan di sekitar daerah Jasin khusus kepada mereka yang memerlukan.
Pengerusi BSMM Jasin, Jezlee Pit berkata, persatuan tersebut kini memiliki dua ambulan yang aktif memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurutnya, ambulan kedua diterima merupakan sumbangan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan dikenali dengan nama Ambulan Rakyat Parlimen Jasin.
“Perkhidmatan ditawarkan termasuk discaj dari hospital, menghantar pesakit untuk rawatan dan kawalan kecemasan, perkhidmatan program sukan serta majlis rasmi dan menerima langganan tetap dari individu yang membuat rawatan Hemodialisis.
“Cas dikenakan juga sangat berpatutan,”katanya selepas majlis pelancaran Ambulan Rakyat Parlimen Jasin, di Pejabat Parlimen Jasin.
Pada majlis itu, BSMM Jasin turut mengagihkan 40 set kit makanan kepada wakil di setiap DUN untuk diagihkan kepada mereka yang layak.
Turut hadir, ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad, Timbalan Speaker DUN merangkap ADUN Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad, Pengerusi BSMM Melaka, Ramli Md Ali dan Pengerusi BSMM Jasin, Jezlee Pit.
-MF-