KAFA D’ HIJRAH MUSAADAH PENDIDIKAN

MARINA SAHABUDIN

Pandemik Covid 19 memberi impak khususnya kepada sistem pendidikan di negara ini.

Cakna dengan isu tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melancarkan rancangan KAFA d’Hijrah sebagai musaadah.

KAFA d’Hijrah adalah rancangan pembelajaran Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di televisyen dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ia disiarkan di saluran TV AlHijrah pada setiap Isnin hingga Sabtu, bermula jam 4.30 petang hingga 5 petang.

Manakala siaran ulangannya pula adalah pada jam 11.30 pagi dan 6.30 petang hari sama.

“Usaha TV AlHijrah, JAKIM dan JAWI bekerjasama dalam program KAFA d’Hijrah adalah strategi baik yang bukan bersifat menandingi tapi mengisi kekurangan pedagogi moden pembelajaran waktu ini agar pelajar tidak tercicir dalam meneruskan proses pembelajaran ilmu agama,” jelas Zulkifli.

Beliau menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi atas usaha dan cetusan idea tersebut yang dilihat amat bertepatan pada waktu ini demi mengalirkan ilmu kepada anak-anak di rumah.

“Ibu bapa yang berkelapangan juga digalakkan menonton siaran KAFA d’Hijrah bersama anak-anak agar ilmu tersebut dapat didalami bersama seisi keluarga,” kata beliau.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Bin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Sementara Namanzee berkata, TV AlHijrah bersedia memikul tanggungjawab menerbit serta menyiar rancangan KAFA d’Hijrah bagi mengisi kelompongan sesi pembelajaran di rumah pada waktu ini yang disebabkan keterbatasan kemudahan seperti capaian internet, komputer riba dan telefon bimbit.

“Buka sahaja televisyen, barisan guru-guru berkelayakan akan menyampaikan ilmu buat semua.

“Minggu pertama bulan Februari adalah minggu pembelajaran bab satu Al-Quran buat pelajar darjah 1 hingga darjah 6. Diikuti subjek Ibadah pada minggu kedua, Sirah pada minggu ketiga dan Jawi serta Khat pada minggu terakhir Februari.

“Manakala subjek Bahasa Arab akan disiarkan pada minggu pertama bulan Mac dan diikuti subjek Akidah pada minggu kedua bulan Mac sehingga selesai pembelajaran untuk bab satu.

“Minggu berikutnya masuk kepada bab dua dan aturan ini akan diulang pada minggu-minggu seterusnya,” katanya.

Kongsinya, inisiatif tersebut sebagai jihad ilmu yang mana semua harus berusaha tenaga membantu pelajar-pelajar KAFA ini.

“Ia bermula dengan peringkat sekolah rendah dan kita berhasrat untuk lebarkan skop pembelajaran kepada peringkat menengah.

“Kita tidak mahu anak-anak berada dalam keadaan ketidaktentuan serta teraba-raba kerana kelompongan kelas online. Justeru, kita pohon semua pihak samada guru, pelajar mahupun ibu bapa memberikan sokongan kepada rancangan ini dan jadikannya sebagai medium pembelajaran memudahkan,” katanya.

TV AlHijrah turut membuka peluang serta menyeru rakan-rakan korporat untuk turut sama menjayakan misi KAFA d’Hijrah dengan menjadi rakan penaja rancangan ini.

Jadi, jangan lupa untuk menonton KAFA d’Hijrah. Sebarang maklumat lanjut mengenai rancangan ini boleh didapati di laman sesawang www.kafa.tvalhijrah.com atau layari laman media sosial Instagram dan Facebook TV AlHijrah.

-MF-

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

MUZIUM MENARIK DI MELAKA

MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *