MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MELAKA United FC (MUFC) melengkapkan senarai kuota pemain importnya dengan kehadiran tiga pemain baharu bagi mengharungi musim Liga Super 2021.
Tiga pemain itu, Alex dos Santos Goncalves, 30, penyerang dari Brazil, Manuel Gelito Ott, 28, pemain tengah dari Filipina yang mengisi kuota import ASEAN dan Stefan Nikolic, pemain kelahiran Montenegro.
Turut memperkuatkan skuad Sang Kancil musim ini ialah dua pemain import sedia ada iaitu pemain kelahiran Haiti, Sony Norde di posisi sayap dan pemain pertahanan kelahiran Korea Selatan, Jang Suk-Won yang dilanjutkan kontrak bersama MUFC untuk musim ini.
Majlis menandatangani kontrak dan lanjutan kontrak pemain import itu telah diadakan di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam yang disaksikan oleh Ketua Menteri yang juga Presiden MUSA, Datuk Seri Utama Dr. Sulaiman Md Ali.
Bagaimananpun Stefan Nikolic tidak menghadiri majlis itu berikutan masih lagi menjalani kuarantin di ibu negara setelah tiba beberapa hari lepas.
Pada majlis itu juga, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat turut menandatangani lanjutan kontrak dua musim sehingga 2022 dan pemain pertahanan, Razman Roslan menandatangani kontrak semusim bersama MUFC.
Dalam sidang media, Sulaiman berkata beliau yakin dengan gabungan pemain import bersama barisan pemain tempatan berupaya mencetuskan kejayaan kepada pasukan Hang Tuah pada musim ini.
“Saya yakin dengan kehadiran pemain import baharu ini akan dapat memperkuat dan memperkukuhkan lagi mutu permainan pasukan Melaka,”katanya.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Sdn Bhd, Datuk Saiful Mat Sapri, Naib Presiden MUSA, Datuk Shadan Othman, Datuk Khairi Anuar Ahmad dan Datuk Sazali Muhd Din serta Ketua Jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan.
Sumber Foto MUFC
-MF-