Marina Sahabudin
Nama Melantak Steak Hub sudah cukup sinonim bagi peminat makanan barat sama ada di dalam dan luar negeri Melaka.
Terkenal dengan menyediakan hidangan stik ‘premium’, pengusahanya, Marina Md Ramli,52, berkata, pada awalnya agak sukar menangkis persepsi pelanggan yang beraggapan restoran ini hanya menjual juadah yang mahal sahaja.
Namun, lama-kelamaan ia tidak menjadi masalah apabila rata-rata pelanggan mereka semakin memahami konsep yang diterapkan.
Bagi peminat stik, sudah tentu pelbagai jenis daging premium disediakan di sini. Mereka boleh memilih bahagian mana diinginkan dan memilih cara masakan tersendiri. Malah harganya juga bergantung kepada jenis daging tersebut.
”Jangan salah faham, kami menyediakan lebih 200 menu di sini. Dari harga RM6 untuk nasi goreng biasa, sehingga ke ratus ringgit bagi stik premium.
”Semua itu pilihan anda, jika berkemampuan bolehlah pilih makanan premium, sebaliknya, jika tidak mahu, menu-menu biasa pun ada.
”Jadi, jangan bimbang dan gusar nak datang ke sini untuk menikmati hidang Melantak. Ada pelbagai hidangan seperti Asam Pedas, Nasi Kerabu, Nasi Beriani dan makanan barat,” katanya kepada Melakafirst.
Mula bertapak di Kota Shahbandar, Melantak kemudiannya meluaskan empayar di Taman Klebang Utama dengan permulaan modal hampir 1 juta selepas restoran terdahulu tidak mampu menampung pertambahan pelanggan.
”Di sanalah saya berlajar pahit manis membangungkan Melantak sehingga dikenali hari ini. Saya memang tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang Food And Beverage (F&B).
”Semua bermula pada tahun 2015 apabila akak usulkan pada Pak Mus (pemilik Menate) untuk buka restoran di Melaka. Walhal saya tak pandai masak, apapun, dengan tunjuk ajar beliau, akhirnya Melantak telah berada di tahap ini,” katanya.
Berkongsi cabaran dan persaingan sepanjang menguruskan Melantak, akui Marina, walaupun banyak kedai-kedai makanan barat di negeri ini, namun dia yakin rasa dan kuantiti dipersembahkan kepada pelanggan menjadi kekuatan restoran itu.
”Resipi kami mempunyai keistimewaan tersendiri. Semua yang dihidangkan ada sentuhan berbeza yang tidak terdapat di kedai-kedai lain. Sama ada daripada segi sos, perapan dan sebagainya, ia diolah dengan gaya berlainan.
”Walaupun sebelum ini ada pelanggan yang memberikan komen terhadap menu disediakan, namun ianya enam bulan pertama pembukaan Melantak. Masa tu kami berjuang nak dapatkan rentak pelanggan.
”Selepas itu, alhamdullilah, penerimaan semakin baik dan saya harap selepas ini tiada lagi komen-komen kurang memberangsangkan diterima. Matlamat saya untuk memastikan Melantak sentiasa berada di hati mereka,” katanya.
Meskipun berhadapan PKP 2.0, namun permintaan daripada pelanggan terus positif.
”Kami sediakan menu baharu iaitu Patin Tempoyak dan Asam Pedas Telur Mayong. Syukur sangat kerana kedua-dua menu ini mendapat sambutan sangat menggalakkan. Setiap hari di musim PKP kami mampu menjual puluhan set.
”Anda juga boleh rasai sendiri keenakan menu ini di Melantak. Sama ada datang sendiri ke restoran atau pun secara ‘delivery’ mengikut kemahuan masing-masing,” katanya kedua-dua menu itu mempunyai keunikan yang mana rasanya tidak akan sama dengan mana-mana rasa yang pernah dihidangkan di kedai lain.
Marina sempat bercerita mengenai nama Melantak yang menjadi persoalan kepada pelanggannya.
”Sebenarnya dulu saya cadangkan pada Pak Mus nama, Shamrina, tapi, dia kata jangan pilih nama yang murni-murni, nanti orang tak ingat.
”Jadi ada tiga nama menyusul dan akhirnya Melantak dipilih. Melantak ni ibarat kata orang Melaka, ‘Melantak jer’. Orang suka bermain dengan perkataan tu dan ia mudah untuk diingat.
”Dan akhirnya, Melantak memang menjadi ingatan kepada pelanggan-pelanggan kami,” katanya mempunyai sebuah lagi restoran di Sungai Udang iaitu, Kuali Ais Cafe.
-MF-