MELAKA – Jabatan Imegresen Malaysia (JIM) Negeri menumpaskan kegiatan seks ditawarkan sembilan warga asing pada kadar RM50 bagi 15 minit di sebuah hotel murah di Jalan Tun Ali di sini, semalam.
Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Melaka, Mohd. Sharulnizam Ismail berkata, kesemua wanita ditahan merupakan warga Indonesia, Thailand, Vietnam dan Bangladesh berusia 26 hingga 35 tahun.
“Kegiatan tidak bermoral ini dipercayai disembunyikan sindiket terbabit dengan menyewa hotel digunakan untuk tujuan perkhidmatan seks pada kadar sewa RM1,500.
“Penjaga premis hotel yang digelar ‘kapten’ berusia 50 tahun dan seorang pelanggan warga Bangladesh turut ditahan dalam Op Gegar ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, difahamkan setiap wanita warga asing menerima upah sebanyak RM30 bagi setiap pelanggan, manakala baki diambil penjaga premis.
“Kita percaya kegiatan haram ini telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu yang memulakan operasi seawal pukul 10 pagi sehingga 4 petang.
“”Walaupun negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP), operasi sindiket itu tetap berjalan seperti biasa dan pelanggan mereka terdiri daripada lelaki warga asing dan tempatan.
“Semasa serbuan dijalankan, kesemua wanita warga asing yang berada di premis itu cuba melarikan diri tetapi, berjaya ditahan anggota penguat kuasa,” katanya.
Dalam serbuan itu, JIM merampas kondom, beberapa set radio walkie-talkie, buku kerja, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM1,040 dipercayai hasil pelacuran.
Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Sumber – Melaka Explorer