Marina sahabudin
AYER KEROH – Rata-rata peniaga menarik nafas lega apabila PKP 2.0 di negeri ini ditamatkan.
Meskipun PKPB masih diteruskan dan SOP dilaksanakan seperti biasa, namun ia sedikit sebanyak mengurangkan bebanan peniaga apabila pelanggan kini sudah boleh makan di kedai dan restoran.
Menerusi tinjauan dilakukan Melakafirst, peniaga, Noor Asmah Mohd Said, 57, berkata, dia bersyukur apabila pendekatan membuka kembali makan di kedai dan restoran telah dilakukan kerajaan.
“Situasa sangat berbeza semasa PKP 2.0 dijalankan dan kami peniaga berhadapan masalah sangat meruncing.
“Apabila perniagaan terjejas, kami terhimpit dengan cabaran lain.
“Bagaimanapun, kini semuanya semakin baik dan perbezaaan sangat ketara boleh dilihat apabila hasil jualan yang merosot kembali laris,” katanya.
Pun begitu, bagi memastikan keselamatan serta jangkitan Covid 19 dapat dibendung, peniaga masih mengamalkan SOP sewajarnya.
“Alhamdullilah, pelanggan sangat memahami SOP, mereka masih mengekalkan jarak dan duduk di meja tidak melebihi jumlah sepatutnya.
“Saya harap semuanya kembali pulih seperti biasa selepas ini dan peniaga yang terkesan tidak lagi berhadapan kerugian besar,” katanya.
-MF-