MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
MERLIMAU – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersara disaran mendaftar menjadi ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Melaka supaya sebarang maklumat dan bantuan daripada kerajaan dapat disampaikan secara terus.
Yang Di Pertua PVATM Melaka, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie, berkata, menerusinya mereka akan mendapat khidmat nasihat berkaitan skim bantuan disediakan.
Menurutnya, antara bantuan termasuklah menyediakan dokumen veteran bagi memudahkan bantuan disalurkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan bantuan kebajikan seperti kerusi roda, lampin pakai buang, kit makanan serta membaiki rumah.
“PVATM sentiasa komited membantu ahli yang mana sejak pandemik Covid-19 melanda negara, seramai 700 ahli PVATM yang terkesan dibantu secara berfasa.
“Bagaimanapun, saya meminta ahli yang masih belum menerima bantuan untuk segera menghubungi persatuan,” katanya selepas penyerahan bantuan kita makanan, keperluan diri dan wang zakat kepada 200 ahli PVATM Melaka, di sini.
Jelas Mohamad Fazil, sehingga Januari 2021, PVATM Melaka mempunyai kira-kira 14,000 ahli.
”Kami sasarkan kira-kira 500 ahli setiap tahun sama ada yang bersara atau belum akan mendaftar menjadi ahli persatuan,” katanya lagi.
-MF-