Jaffar, Selesa Latih Anak Kampung

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Marina sahabudin

Siapa sangka bermula dengan suka-suka melatih anak buahnya, kini, Jaffar Bahari, 52, mempunyai anak didik seramai 14 orang menerusi sukan badminton.

Meskipun namanya tidak sepopular jurulatih badminton lain namun, beliau selesa dengan caranya tersendiri.

Berkongsi cerita mengenai penglibatan sebagai jurulatih badminton, katanya, ia bermula dua tahun lalu.

“Masa tu anak buah saya main badminton dan sering dibuli, dia selalu kalah sebab tiada kemahiran yang betul.

“Jadi saya latih dia supaya boleh bermain lebih baik dan pergi lebih jauh dalam sukan ni. Tak sangka pula, hasil tunjuk ajar saya, dia berjaya mengalahkan rakan-rakan yang dahulunya sering ‘mengenakan’ dia masa bermain badminton.

“Daripada situlah, ramai yang kagum kemajuan ditunjukkan dia dan mereka mula menawarkan diri menjadi anak didik saya,” katanya kepada Melakafirst.

Di awal penglibatnya sebagai jurulatih, dia mempunyai seramai enam anak didik berbanding sekarang, 14 orang.

“Ramai lagi yang nak sertai kami, tapi saya terpaksa tolak supaya fokus dapat diberikan kepada setiap peserta.

“Lagipun anak-anak yang dilatih ni berusia seawal 11 tahun sehingga 18 tahun dan mereka mempunyai ragam tersendiri.

“Faham sajalah kalau budak-budak ni, manja mereka lebih sikit dan kita kena pujuk, beri motivasi dan sebagainya untuk pastikan mereka sentiasa komited,” katanya.

Berharap masa hadapan sukan badminton mampu dimonopoli atlet Melayu, kata Jaffar, ia juga menjadi faktor dan alasan mengapa dia memberanikan diri mengambil pendekatan tersebut.

“Saya bukan jurulatih tersohor dan dikenali ramai, tapi kerana bakat yang ada dan minat, sedikit sebanyak ia diterapkan kepada anak didik yang ada untuk pergi lebih jauh.

“Ia terbukti apabila anak buah saya kini turut menjadi kebanggaan di sekolahnya bagi sukan badminton dan dia juga diminta guru untuk berkongsi ilmu badminton bersama rakan lain,” katanya.

Jaffar memasang impian melihat anak didiknya dapat mencipta nama dalam sukan badminton walaupun hanya di peringkat negeri Melaka.

“Buat masa sekarang saya mahu mereka fokus dahulu, bila betul-betul dah bersedia nanti, barulah saya hantar mereka untuk sertai apa sahaja pertandingan sama ada di peringkat persahabatan mahupun negeri,” katanya sentiasa menggalakkan displin ketat dalam kalangan anak didik untuk menjadi pemain berkualiti.

Menjalani latihan setiap Rabu, Jaffar juga menasihati anak didiknya supaya menguatkan mental dan fizikal.

“Ini paling penting sebab dalam sukan badminton ni kita tak kenal siapa lawan sebenar. Adakala, mereka kawan-kawan kita juga, tapi, apabila di gelanggang semua berubah,” katanya bermain badminton seawal umur 9 tahun.

Seorang anak didiknya, Muhammad Hariz Syafiq Harizan,16, berkata, minatnya muncul apabila melihat ayah bermain badminton.

“Masa tu saya baru darjah dua, tapi dari kecil dah suka badminton. Jadi saya cuba main sendiri dengan kawan-kawan.

“Dengan bantuan pakcik Jaffar, saya kini lebih bersemangat dan kemahiran diajar juga membuatkan saya mempunyai ilmu mengenai badminton.

“Saya bermain di sekolah dan sudah tentu nak sertai pertandingan lebih besar. Cita-cita nak wakili Melaka,” kata pelajar Sekolah Menengah Bukit Baru ini.

Bagi anak buah Jaffar, Muhamad Nabil Abdul Rani,16, dia mengikuti pakciknya sejak berusia 11 tahun lagi.

“Masa tu main pukul-pukul jer, bila dah semakin minat dan dapat tunjuk ajar daripada pakcik memang saya gembira sangat.

“Buat masa sekarang saya banyak bermain sertai pertandingan antara sekolah-sekolah dan besar impian saya untuk wakili Melaka satu hari nanti,” katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Tijah Melaka ini.

-MF-

Fara Ismail

Fara Ismail

Artikel Berkaitan

BANJIR MAUT IRAN

Fara Ismail Menurut CNN, sekurang-kurangnya 69 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan bandar di seluruh Iran, kata

DAKI 14 PUNCAK DUNIA DUA KALI

Fara Ismail Menurut REUTERS – Sanu Sherpa 47, telah mencipta rekod pendakian dengan mendaki 14 puncak dunia yang berketinggian melebihi 8,000 meter

HUKUMAN MATI EMPAT AKTIVIS

FARAH ISMAIL MYANMAR – Menurut Reuters, pihak berkuasa tentera Myanmar telah menghukum mati empat aktivis demokrasi yang dituduh membantu menjalankan “tindakan keganasan”, kata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *