MUHAMMAD ZAIDEE DAUT
BANDA HILIR – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menawarkan potongan harga tiket sebanyak 50% kepada pelawat yang mengunjungi Muzium Istana Kesultanan Melaka.
Pengurus Besar PERZIM, Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata, potongan harga istimewa itu sebagai inisiatif pihaknya menyokong kempen Melakan Visit Melaka bagi menggalakkan rakyat Melaka mengunjungi produk pelancongan Melaka mulai 8 Mac 2021.
Menurutnya, selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) negeri Melaka yang diumumkan kerajaan mulai 19 Februari 2021 hingga 4 Mac 2021, PERZIM juga telah membuka beberapa muzium utama bermula 20 Februari 2021 dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Antara muzium yang telah beroperasi ialah Muzium Stadthuys, Muzium Samudera, Muzium Kapal Selam, Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Hang Tuah, Muzium Orang Asli, Muzium Belia & Balai Seni Lukis Melaka dan Muzium DMDI.
“Semua muzium ini dibuka kepada pengunjung dari jam 9 pagi hingga 5.30 setiap hari kecuali pada Isnin,”katanya.
-MF-