MARINA SAHABUDIN
AYER KEROH – Maim Industri Sdn Bhd (MISB) merupakan anak syarikat MAIM Holdings Berhad (MHB) yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Memulakan operasi sekitar tahun 1997, penubuhan MISB pada awalnya melibatkan perniagaan dalam bidang pembekalan perabot, alatan persekolahan, buku tulis dan buku latihan kepada sekolah di bawah pentadbiran JAIM iaitu bagi sekolah rendah arab, sekolah menengah dan sekolah rendah JAIM sahaja.
Bagaimanapun, Pengurus Besar MISB, Shahfurizal Abu Bakar, berkata, MISB terus melebarkan sayap dalam pelbagai bidang perniagaan sebagai usaha memastikan ia mampu bersaing menyediakan produk patuh syariah khususnya kepada umat Islam.
”Kini kami dikenali sebagai salah satu panel pembekal makanan kepada asnaf dan fakir miskin di negeri ini selain pakaian dan peralatan sekolah.
”Kami telah menyediakan keperluan berkaitan kepada lebih 10,000 asnaf di Melaka,” katanya kepada MelakaFirst.
Tambahnya, bagi mengukuhkan syarikat itu, MISB melangkah setapak demi setapak menceburi bidang perniagaan baharu.
”Antara diusahakan adalah tapak pertanian di Rimbunan Kasih Merlimau.
”Pada masa sama, kami juga telah memgembangkan perniagaan dalam bidang konsesi pasir yang dijalankan di Felda Bukit Senggeh, Jasin.
“Usaha ini merupakan hasil prestasi memberangsangkan daripada pegawai-pegawai MISB dan impaknya, kami berjaya meluaskan lagi peranan MISB dalam pelbagai bidang untuk menjana pendapatan lebih lumayan,” katanya.
Jelas Shahfurizal, besar harapannya untuk melihat MISB terus dikenali khususnya dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
”Dengan adanya strategi dan perancangan terbaik, saya yakin mampu mengembangkan lagi MISB ke peringkat lebih tinggi.
”Kami juga mahu syarikat ini menjadi lebih berdaya saing sekaligus kukuh dalam bidang diceburi,” katanya mahu mencapai lebih kejayaan menerusi MISB.
-MF-